NORMAN bersama keluarga.
NORMAN bersama keluarga.
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Pelakon, Norman Hakim 'kagum' dengan isterinya, Memey Suhaiza dan bekas isteri, Abby Abadi yang terus membuat perancangan cuti bersama sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri, kelmarin.

Menerusi Instagram, Norman turut berkongsi paparan perbualan Memey dan Abby di aplikasi WhatsApp yang teruja sambil merancang percutian untuk dua keluarga itu.

Malah, Memey dan Abby turut berbincang untuk mengenakan baju yang sama warna untuk keluarga mereka sepanjang percutian itu nanti.

"Hampir dua tahun tidak nampak memo begini (ini pun ternampak dalam telefon isteri) terkejut pun ada juga kerana sudah lama tidak berbincang atau proses mengenai bab ini.

"Tidak sampai 24 jam pengumuman, laju betul mereka membuat perancangan. Nampak macam sampai ke hujung tahun saja. Tak larat nak baca habis. Bab ni memang tabik kepada kaum hawa memang efisyen.

"Jadi anak-anak, sila ambil perhatian warna-warna pelangi yang diperlukan ketika percutian nanti supaya tak terkejut apabila memo rasmi ini keluar nanti. Tak lama lagi ni," katanya.

Dalam pada itu, menerusi ruangan komen rata-ratanya mengusik Norman kerana berdepan dengan situasi lucu seperti itu.

Norman dan Memey mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 8; Muhammad Dikhriz Hakim, 6; dan Mikayla Delisha Hakim, 3.

Sebelum itu, Norman berkahwin Abby pada 2002 tetapi bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 18; Marissa Dania Hakim, 16; dan Danisha Hakim, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 3:31 PM