Mikayla adalah puteri sulung pasangan Norman dan Memey. FOTO IG Norman Hakim
Mikayla adalah puteri sulung pasangan Norman dan Memey. FOTO IG Norman Hakim
Amirul Haswendy Ashari


PASANGAN selebriti, Norman Hakim dan Memey Suhaiza mengumumkan nama dan mendedahkan wajah anak mereka yang dilahirkan, semalam di laman sosial, hari ini.

Puteri sulung pasangan itu diberi nama Mikayla Delisha Hakim yang membawa maksud pemberian Allah (Mikayla), gembira dan membuat orang lain gembira (Delisha) dan arif bijaksana (Hakim).

Ia adalah anak keenam Norman hasil daripada dua perkahwinan.

Malah, sebuah akaun media sosial Instagram rasmi menggunakan nama @mikayladelishahakim yang baru dilancarkan tenghari tadi oleh pasangan itu sudah memperolehi lebih 10 ribu pengikut.

"Assalamualaikum dan salam Jumaat semua, papa dan mummy dah bagi nama kepada saya tau?

"Papa dan mummy cakap nama saya bermaksud pemberian Allah, gembira dan membuatkan orang gembira dan arif bijaksana.

"Ingat nama saya dalam doa dan'follow' instagram @mikayladelishahakim yang papa mummy sudah buatkan, okey?," tulis Norman di dalam laman entri terbarunya berserta foto bayinya.

Menerusi perkongsian hidup bersama Memey sejak pada 2011, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3.

Manakala, perkahwinan Norman dan Abby Abadi sebelum ini dikurniakan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Memey selamat melahirkan Mikayla secara normal pada jam 12.52 tengah hari di sebuah hospital swasta, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 5:22 PM