Abby (kiri) bersama isteri Norman, Memey. FOTO IG ABBY ABADI
Abby (kiri) bersama isteri Norman, Memey. FOTO IG ABBY ABADI
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON, Norman Hakim memuji tindakan bekas isterinya, Abby Abadi mengambil anak angkat diberi nama Muhammad Daiyan Fayyadh, kini berusia 18 hari.

Norman berkata, Abby membuat tindakan betul ketika masyarakat sekarang dikejutkan dengan berita pembuangan bayi secara kejam dan ditinggalkan dalam keadaan yang tidak sewajarnya.

"Saya faham Abby dua kali mengalami keguguran menerusi perkahwinan terbarunya. Dia tiada rezeki buat waktu ini tapi berpeluang mendapat Muhammad Daiyan Fayyadh dan mencurahkan kasih sayang.

"Abby bersikap terbuka berkongsi berita itu di laman sosial Instagramnya. Pada saya, ia langkah terbaik mengajar masyarakat agar menghargai anak dan bayi dilahirkan.

"Dia secara terbuka menyeru kepada mana-mana pasangan ibubapa yang nak membuang bayi supaya merujuk kepadanya agar jalan penyelesaian dapat dicari," katanya kepada Harian Metro.

Norman, mempunyai tiga anak dengan Abby iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania, 13, dan Maria Danisha, 10, menganggap apa dilakukan Abby satu ibadah dan dakwah yang terbaik.

"Yang penting kemampuannya untuk memberikan satu kehidupan yang baik kepada bayi terbabit. Sikapnya wajar dicontohi oleh kita.

"Saya sendiri tengok bayi itu sejak hari pertama diambil dan timbul rasa sayang terhadapnya. Malah Dania dan Maria turut sayangkannya seperti adik sendiri. Mereka seperti dapat anak patung.

"Tak terkecuali anak saya dan Memey iaitu Muhammad Darwisz, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3, tak ketinggalan turut gembira dan asyik cuit Muhammad Daiyan Fayyadh.

“Saya bersyukur impian saya untuk menyemai kasih sayang dalam keluarga akhirnya tercapai," katanya.

Abby turut memuat naik status Instagramnya, Jumaat lalu, mengenai kunjungan Memey selama dua hari berturut-turut ke rumahnya.

Dia menulis keterujaan Memey menolongnya memasak pada hari pertama dan hari kedua pula, datang menghantar hadiah untuk bayinya.

Dalam pada itu, Norman kini menantikan anak ketiganya dengan Memey yang dijangka dilahirkan pada awal Ogos ini.

"Sekali lagi, semua ahli keluarga saya teruja bercampur debaran menanti kelahiran bayi baru kami.

“Sebelum ini Memey pergi memborong pakaian dan membeli hadiah untuk diberikan kepada bayi Abby.

"Sekarang giliran Abby pula sedia memberikan hadiah kepada anak ketiga kami," katanya, bakal menimang anak perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 6:27 PM