NORMAN dan Memey juga rapat dengan Abby serta suaminya.
NORMAN dan Memey juga rapat dengan Abby serta suaminya.
Nor Akmar Samudin


Cabaran mendidik anak zaman sekarang sangat hebat terutama dengan kewujudan teknologi terkini apabila remaja terlalu a­syik dengan gajet sehingga mengabaikan pelajaran.

Itulah pengalaman yang dilalui pelakon Norman Hakim dalam membesarkan lima anaknya, Mohamed Danish Hakim, 14, Marisa Dania Hakim, Maria Danisha Hakim, 9, Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.

Menurut Norman, ketika dia dan bekas isteri, Abby Abadi membesarkan Danish, Marissa dan Maria, keadaan tidak sesukar hari ini kerana ketika itu dunia gajet belum sehebat sekarang.

“Hari ini semuanya di hujung jari. Apabila tiba ‘zaman’ Darwisz, teknologi berkembang sangat pesat. Kanak-kanak yang baru masuk tadika sudah tahu cara menggunakan telefon, komputer riba dan sebagainya. Peralatan itu juga dilengkapi pelbagai permainan dan ada yang boleh dimuat turun dengan percuma.

“Walaupun beza usia Darwisz dengan abang longnya (Danish) 10 tahun, masa beredar begitu pantas. Darwisz begitu dekat dengan dunia gajet dan untuk mendidik setiap anak memerlukan pendekatan berbeza. Saya tidak boleh terlalu berkeras dengan Darwisz tetapi buatkan dia jadual.

“Balik dari tadika, saya benarkan Darwisz bermain gajet sekejap dan selepas itu dia kena membaca buku, mengaji dan bersolat. Perlu ada keseimbangan, saya dan Memey berharap Darwisz serta Dikhriz dapat mengikut jejak abang serta kakaknya belajar di sekolah tahfiz seterusnya menjadi ‘hafiz,” katanya.

Kejayaan Danish yang terpilih melanjutkan pe­ngajian al-Quran di Mekke Kuran Kursu, Isparta, Turki dan dijangka bertolak ke negara itu hujung tahun ini atau awal tahun depan amat menggembirakan Norman.

Menurutnya, dia tidak sangka Danish boleh melangkah sejauh itu.

Sebelum berangkat ke Turki, Danish mengikuti pengajian di Madrasah Uthmaniyah Tahfiz, Bangi, Selangor.

“Alhamdulillah, Danish dipilih antara 10 pelajar untuk sambung pengajian ke Turki bagi menyelesaikan baki hafazan lapan juzuk berdasarkan prestasi semasa.

“Saya pernah diminta Danish untuk mengujinya dalam hafazan al-Quran kerana mahu berlatih sebelum menduduki peperiksaan di sekolah.

“Saya hanya baca mana-mana ayat secara rawak di dalam al-Quran tanpa dilihatnya dan dia dengan cekap menyambung­nya selepas saya berhenti membaca. Meremang bulu roma saat saya lihat dia menghafaz ayat al-Quran itu dengan tepat sekali. Saya kagum melihatnya, kalau saya belum tentu boleh lakukan begitu,” katanya yang kagum apabila Danish sudah menghafaz 28 juzuk al-Quran.

“Dia ke Turki selama 10 bulan untuk menghadapi peperiksaan di sana. Sekembalinya ke tanah air nanti, dia boleh me­nyambung persekolahan di sekolah biasa atau yang bersesuaian dengannya,” katanya.

Sejak anaknya kecil lagi, Norman sering bersolat jemaah dengan mereka dan selalu membawa ke masjid.

“Jadi mereka sudah biasa mendengar ayat al-Quran. Jiwa yang masih mentah dan muda ibarat ‘sponge’ mudah menyerap apa saja dan samalah dengan minda manusia perlu dididik sejak kecil,” katanya.

Ibarat adik-beradik dengan Abby dan suaminya

Bercakap mengenai kerjaya seninya, Norman juga kini memilih watak dan jalan cerita kerana dia mahu lebih fokus kepada keluarga, perniagaan produk serta butik yang diusahakan bersama Memey.

“Memey pun sama, ada tawaran berlakon tetapi kena lihat, watak, jalan cerita dan lokasi kerana dia tidak boleh tinggalkan anak terlalu lama. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik dan saya bahagia dengan kehidupan sekarang.

“Hubungan saya, Memey, Abby dan suaminya pun sudah seperti adik-beradik. Tiga anak saya dengan Abby iaitu Danish, Marissa dan Maria, mereka pilih sendiri nak ikut siapa atau nak tidur di rumah siapa. Tiada sekatan kerana kami berempat adalah ibu dan bapa mereka,” katanya.

Terkini, Norman akan turun ke lokasi drama Gerak Khas episod baru dengan memegang jawatan pegawai polis yang lebih berpangkat menandakan perubahan yang berlaku dalam drama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:03 AM