NORMAN bersama isterinya, Memey Suhaiza. FOTO IG Norman Hakim
NORMAN bersama isterinya, Memey Suhaiza. FOTO IG Norman Hakim
Georgie Joseph 

Kuala Lumpur: Pelakon Norman Hakim, 45, merasa dirinya bukan kalangan insan yang terpilih untuk berpoligami meskipun dia dan isterinya, Memey Suhaiza ada berbincang mengenai perkara itu.

Norman berkata, hal berpoligami adalah sesuatu yang sangat subjektif dan jika berlaku suatu hari nanti, dia sudah menetapkan syarat-syarat untuk dirinya.

"Saya dengan isteri (Memey) beberapa kali sembang-sembang juga bab-bab poligami ini, sekadar suka-suka. Yang penting, jangan ambil serius sangat kerana hal berkahwin ramai, ini adalah subjektif.

"Paling utama pastinya soal tanggungjawab, adil dan saksama. Dalam taddabur al-Quran sendiri banyak kali disebut. Untuk diri saya, saya sendiri sudah buat pengakuan jujur dengan isteri buat masa sekarang, saya bukan golongan insan yang terpilih.

"Kalau ada pun, saya sudah beritahu syarat-syaratnya. Yang pertama dan paling penting, dengan izin isteri. Yang kedua, tinggal sebumbung. Itu sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Norman berkata dia cuma berkongsi suka-suka mengenai isu terbabit yang baginya bukan terlintas pun di fikiran buat masa ini.

"Tapi dari hati saya yang ikhlas, saya bukan dari golongan insan yang terpilih untuk berpoligami," katanya yang kini membintangi drama The Maid.

Norman dan Memey mendirikan rumah tangga pada 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 8, Muhammad Dikhriz Hakim, 6 dan Mikayla Delisha Hakim, 3.

Terdahulu, Norman pernah berkahwin dengan pelakon dan penyanyi Abby Abadi pada 2002 namun bercerai pada 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, 18, Marissa Dania Hakim, 16, dan Danisha Hakim, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 5:44 PM