Pengarah Shuhaimi Lua bersama pelakon yang juga anggota K-Clique, Noki.
Pengarah Shuhaimi Lua bersama pelakon yang juga anggota K-Clique, Noki.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua tidak mengeksploitasikan tubuh badan sasa pelakon-pelakon drama arahannya iaitu Oh My Hantaran, sebaliknya menyesuaikannya dengan babak-babak dalam drama itu.

Shuhaimi ketika dihubungi berkata, dia melihat pelakon utama drama itu, Noki K-Clique sebagai bakat baru yang terbuka untuk meneroka bidang lakonan.

"Tidaklah saya mempertaruhkan 'abang-abang sado' atau mengeksploitasikan tubuh badan sasa pelakon dalam drama ini. Namun, Noki sebagai hero menampilkan kelebihan yang dia ada.

"Dia juga sanggup untuk menjayakan watak serta babak-babak itu. Saya melihat dia sebagai pelakon baru yang tidak takut untuk meneroka dan cuba perkara baru," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Shuhaimi, babak yang memerlukan pelakon-pelakonnya menayangkan badan juga bukanlah terlalu banyak.

"Hanya ada tiga ke empat babak saja yang memerlukan mereka menayangkan badan dan babak-babak itu pun mengikut kesesuaian cerita.

"Contohnya, ketika babak menjalani latihan dalam air dan mandi sungai, secara realistiknya tentunya orang akan mandi dan tak memakai baju," katanya.

Dalam drama itu, Noki memegang watak sebagai jejaka kampung bernama Mail yang berhijrah ke bandar untuk mengumpul wang bagi menampung nilai hantaran perkahwinannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 5:34 PM