Shiqin Kamal
Shiqin Kamal
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur : "Saya nak jadi Angelina Jolie Malaysia," kata pelakon, Shiqin Kamal mengenai impiannya untuk menjadi pelakon yang boleh melakonkan babak-babak aksi.

Shiqin berkata, dia ingin melakukan babak aksi dengan tenaganya sendiri sekiranya diberikan peluang. "Saya nak buat 'stunt' (babak aksi) sendiri. Ya, saya nak jadi Angelina Jolie Malaysia. Kalau jauh sangat, saya nak jadi Hairul Azreen versi wanita. Itu 'target' (sasaran) saya," katanya kepada Harian Metro.

Selain berlakon, Shiqin juga aktif menyertai latihan seni mempertahankan diri dan juga sukan memanah berkuda.

"Yang saya boleh buat sekarang adalah Muay Thai dan gusti. Selain itu, saya turut serta dalam sukan memanah berkuda," katanya.

Menurut Shiqin, dia ingin belajar pelbagai skil yang boleh digunakan ketika berlakon sekiranya diperlukan.

"Saya fikir, kalau ada orang nak buat filem epik dan bertanya saya boleh menunggang kuda atau tidak, saya akan jawab saya boleh.

"Selepas ini, saya nak belajar bermain pedang, nak ambil lesen selam skuba dan saya nak belajar banyak benda," katanya yang baru memulakan penggambaran drama bersiri berjudul Risik Pada Hati untuk slot Akasia TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 12:22 PM