Fezrul Khan
Fezrul Khan
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Fezrul Khan menegaskan bahawa insiden dia mencekik pelakon Reen Rahim dalam satu babak lakonan mereka yang tular baru-baru ini bukanlah insiden yang membahayakan nyawa.

Fezrul berkata, dia tahu selok-belok dalam dunia badan beruniform kerana pernah belajar serta berpengalaman berlakon babak-babak aksi.

"Kenapa bila pengarah 'cut' saja, dia kena menjerit dengan saya? Kenapa tak jerit dari awal? Saya pernah melalui pelbagai pengalaman dalam api dan juga air. Kalau setakat kena cekik begitu, takkan mati punya," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah diingatkan oleh penolong pengarah supaya tidak bergurau dengan Reen sekiranya teman lelakinya ada di lokasi penggambaran.

"Mungkin dia nak tunjuk kepada teman lelakinya kot. Sebelum masuk set pun, penolong pengarah sudah pesan, 'kalau teman lelaki Reen datang, jangan bergurau dengan dia'.

"Sebagai pelakon, saya perlukan keserasian. Kalau tak dapat keserasian itu, takkan dapat melakonkan sesuatu watak dengan baik," katanya.

Berkongsi mengenai pengetahuannya dalam dunia badan beruniform, Fezrul juga pernah menyelamatkan nyawa seorang individu ketika berada di lokasi penggambaran.

"Saya belajar dengan pelbagai badan beruniform dalam melakukan sesuatu urusan berkaitan menyelamat dan sebagainya.

"Bahkan, saya juga pernah menyelamatkan orang yang pengsan di set penggambaran. Saya belajar semua itu dan bukan bodoh-bodoh saja," katanya.

Berkongsi mengenai kemalangan di lokasi penggambaran, Fezrul tidak menafikan bahawa insiden sebegitu sememangnya tidak dapat dielakkan sekiranya terbabit dalam filem atau drama aksi.

"Saya dah pernah lakonkan pelbagai babak aksi pertarungan dengan ramai pelakon, baik lelaki, mahupun wanita. Pernah juga saya tertendang kepada orang dan tersiku.

"Tapi, kemudian saya akan minta maaf dan tanya sakit atau tidak kerana ada kalanya, kemalangan tak dapat dielakkan. Kita cuma boleh melakukan latihan, tapi kalau kemalangan nak berlaku, ia akan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:37 PM