Riz Amin. Foto Instagram
Riz Amin. Foto Instagram
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Riz Amin meluahkan pendapat agar syarikat produksi tempatan tidak melampaui batas dan menggunakan 'soft porn' sebagai strategi untuk meraih perhatian penonton drama tempat.

Riz, 39, berkata, semuanya bergantung kepada kreativiti pengarah dan penulis untuk menyampaikan mesej menggunakan cara selain babak-babak lucah.

"Pada saya, kalau ikutkan budaya kita orang Melayu dan Islam, tentunya kita ingin hasilkan cerita dengan mesej yang baik. Tapi, adakah setiap babak itu menyampaikan mesej yang ingin kita sampaikan sebenarnya?

"Pada saya, kalau anda nak tunjukkan mesej dan babak 'kotor', kamu boleh guna teknik 'fade to black' atau sebagainya.

"Janganlah sampai kita melampaui batas kerana saya sentiasa berfikir mengenai generasi penonton terutamanya kanak-kanak. Kenapa kita nak didik mereka dengan benda-benda tak sepatutnya.

"Jadi, semuanya bergantung kepada pengarah atau penulis itu, bagaimana mereka nak sampaikan mesej itu menggunakan kreativiti dengan cara lain," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Riz, karya-karya dari Hollywood hari ini juga kebanyakannya tidak lagi menunjukkan babak-babak sebegitu secara terang-terangan.

Berkongsi mengenai prinsipnya untuk tidak berlakon dalam babak yang menjurus ke arah 'soft porn', Riz berkongsi bagaimana dia menolak tawaran untuk berlakon dalam filem bersama produksi antarabangsa.

"Saya pernah dapat tawaran dari luar negara. Tak banyak babak pun, tapi ia filem dari luar. Kemudian ada babak bercium mulut dengan pelakon luar di kelab malam.

"Saya balik, saya tanya pendapat isteri saya. Bayarannya memang berbaloi dan saya juga akan menimba pengalaman berlakon dengan produksi luar.

"Isteri saya cakap, kalau awak waras, awak sanggup ke buat benda ini? Awak nak kecaman dengan cara buruk atau baik? Sepanjang awak berlakon, awak rasa nak pilih yang mana dan apa orang fikir pasal saya sebagai isteri untuk izinkan suami berlakon babak sebegitu?'.

"Jadi, saya tolak. Memang sayang untuk saya tolak sebab ia adalah peluang besar," katanya.

Dia juga berbincang dengan pengarah serta syarikat produksi itu agar menggunakan trik kamera, namun, cadangannya ditepis dengan pelbagai alasan.

Riz juga berharap agar produksi dapat menghormati keputusan prinsip yang diletakkan sebagai batasan dalam melebarkan sayapnya sebagai pelakon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 2:03 PM