Ridzuan Abdul Rahman

NAMA Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma sememangnya amat sinonim dengan kerajaan negeri Sarawak.

Saban tahun tidak ketinggalan diadakan pertandingan nyanyian lagu-lagu P Ramlee dan Saloma membabitkan penyertaan peserta dari seluruh tanah air.

Justeru, stesen penyiaran Sarawak yang baru beroperasi iaitu TVS memperkenalkan pertandingan nyanyian Getaran Jiwa, khas untuk mereka yang berjiwa klasik.

Program membabitkan penyanyi berusia 18 tahun ke atas ini bertujuan menampilkan persembahan yang disusun oleh P Ramlee.

Getaran Jiwa yang diacarakan Mia Hassan dan Fir Affandi mewarnai perjalanan nostalgia peminat dengan persembahan gubahan artis legenda/seniman agung dari industri seni Melayu.

Ketua Eksekutifnya, Suhaimi Sulaiman berkata, pertandingan nyanyian ini memperlihatkan keunikan dan karya sepanjang zaman P Ramlee sambil memberi penghormatan kepada warisan yang sudah ditinggalkan untuk kita.

"TVS sentiasa menyediakan platform untuk mereka yang berbakat dalam bidang nyanyian bagi mengetengahkan bakat mereka dan bekerjasama dengan TVS serta juga produksi lain di Sarawak untuk menghasilkan sebuah program yang berdaya maju.

TVS menjemput seberapa ramai peserta untuk menguji bakat dalam pertandingan nyanyian Getaran Jiwa.
TVS menjemput seberapa ramai peserta untuk menguji bakat dalam pertandingan nyanyian Getaran Jiwa.

"Kami menjemput seberapa ramai mereka yang berbakat untuk menguji bakat dalam pertandingan nyanyian ini," katanya.

Penerbit Getaran Jiwa, Yume Suryani berkata, program ini bukan saja menonjolkan kemampuan menyanyi peserta, bahkan juga persembahan pentas mereka.

"Bak kata gubahan lagu P Ramlee yang terkenal, 'Tak mungkin hilang irama dan lagu', kami berbesar hati kerana dapat meraikan karya dan peninggalan P Ramlee dan Saloma melalui pertandingan nyanyian ini," katanya.

Pertandingan ini akan dinilai oleh juri profesional serta menggunakan sistem pengundian dalam talian di mana penonton boleh memilih peserta pilihan mereka dengan mengimbas kod QR yang akan dipaparkan semasa pertandingan.

Pemenang pertandingan ini akan membawa pulang hadiah wang tunai dan piala. Berdasarkan norma baharu, uji bakat dijalankan melalui penghantaran video.

Entri video hendaklah dihantar dalam keadaan melintang/lanskap, dalam format mp4 dengan durasi tidak lebih dari lima minit dan nyanyian harus dirakam dengan menggunakan mikrofon.

Peserta diminta untuk menyanyikan lagu-lagu yang sudah ditetapkan dalam terma dan syarat. Hanya calon terpilih saja akan dipanggil untuk pusingan pemilihan bersemuka.

Penyertaan mula dibuka pada 14 Ogos lalu dan akan ditutup pada 11 September ini.

Individu yang berminat boleh menghantar video uji bakat mereka ke [email protected]. Maklumat lanjut boleh diperolehi menerusi https://tvstv.my/getaranjiwa/

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:20 AM