SUILI George buru impian sebagai penyanyi selain Shafiq apabila dia ke separuh akhir Getaran Jiwa.
SUILI George buru impian sebagai penyanyi selain Shafiq apabila dia ke separuh akhir Getaran Jiwa.
Najiy Jefri


DUA peserta antara terawal mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir dalam saingan program realiti Getaran Jiwa terbitan TVS menjadi milik Suili George, 35, dan Mady Spuan, 32.

Minggu kedua program berlangsung di Stadium Tertutup MBKS Bintawa, Kuching, Sarawak menyaksikan program dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy.

Suili yang menyampaikan lagu Malam Ku Bermimpi nyanyian Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P Ramlee adalah anggota bomba di Balai Bomba Tuaran, Sabah.

Menurutnya, biarpun sudah hampir 11 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba namun tidak menghalangnya untuk mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

"Sebelum terbang ke Kuching untuk terbabit dalam program Getaran Jiwa, pihak produksi sudah memaklumkan tarikh tertentu supaya saya boleh merancang cuti.

"Setakat ini, pihak majikan juga sangat 'suppotif' dan tidak pernah menghalang saya untuk terbabit dalam program realiti.

"Kalau boleh saya nak ikut jejak langkah penyanyi Syafiq Farhain yang masih boleh menyanyi walaupun berkhidmat sebagai anggota bomba. Sekurang-kurangnya pembabitan saya dapat memperkenalkan jabatan saya di Sabah manakala Shafiq di tempatnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Suili, antara sebab utama dia terbabit dalam program Getaran Jiwa kerana meminati konsep pertandingan itu yang mempertaruhkan lagu nyanyian P Ramlee dan biduanita negara Allahyarham Puan Sri Saloma.

"Saya tertarik dengan konsep pertandingan ini yang mana setiap peserta perlu membawakan lagu-lagu nyanyian P Ramlee dan Saloma mengikut gaya dan selera setiap peserta.

"Pertandingan ini juga memberi kebebasan kepada setiap peserta untuk mengubah susunan muzik lagu yang dibawakan supaya tidak terikut-ikut dengan cara nyanyian penyanyi asal sekali gus mempunyai identiti tersendiri," katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran TVS, Aizal Ibrahim berkata, minggu kedua Getaran Jiwa menyaksikan lapan peserta mengambil bahagian namun hanya dua peserta diumumkan mara ke peringkat separuh akhir.

"Suili meraih kutipan 53.7 markah manakala Mady Spuan pula mendapat 49.8 markah.

"Sementara enam peserta yang tidak berjaya ialah Rina Ramlee (48.7 markah), Shamshul (26.2 markah), TCY Agnes (33.8 markah), Jamilah Pesan (28.5 markah), Irwan (41.0 markah), dan Shazlan ( 40.5 markah)," katanya.

Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70% oleh barisan juri profesional dan 30% oleh juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan 'Meter Jiwa'.

Persembahan peserta minggu ini dinilai oleh Datuk Nash selaku ketua juri serta Norafizah Busman sebagai juri tetap dan Ayai Ilusi selaku juri jemputan.

Diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P Ramlee dan Puan Sri Saloma, program lapan episod itu menampilkan lapan peserta berbeza unt

uk episod satu hingga lima.

Secara keseluruhannya, 40 peserta yang terpilih melalui pencarian bakat seluruh negara akan bertanding dalam program ini. Getaran Jiwa menawarkan hadiah terkumpul sebanyak RM60,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 6:50 AM