DWAN Hamid.
DWAN Hamid.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Jika kebanyakan pelakon memilih menjadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), namun berbeza buat pelakon Dwan Hamid yang menjadi sukarelawan pengurusan jenazah Covid-19 di sebuah hospital di sini sejak Jun lalu.

Dwan Hamid, 30, atau nama sebenarnya Muhammad Ridzuan Shahul Hamid berkata, pembabitannya di bawah Sukarelawan Wilayah Prihatin (PriVo) membolehkan dia membantu petugas barisan hadapan.

"Sebelum ini saya menjadi sukarelawan di PPV. Kemudian, sejak Jun saya minta tukar ke bahagian pengurusan jenazah pula. Dalam pada orang lain lari daripada terkena jangkitan dan rasa takut, saya beranikan diri mencari 'penyakit'.

"Saya tidak pernah ada pengalaman dalam menguruskan jenazah atau pergi mana-mana kursus. Tapi, niat saya adalah untuk membantu petugas barisan hadapan. Jadi, di situ saya saya dapat belajar.

"Risiko memang ada dan setiap hari saya perlu berhati-hati. Sehari beberapa kali saya kena ganti kelengkapan pelindung diri (PPE) termasuk memakai tiga ke empat lapis sarung tangan," katanya kepada Harian Metro.

Dwan yang juga pelakon drama Tanah Kubur berkata, dia tidak memandang soal upah atau elaun diterima sepanjang menjadi sukarelawan.

"Memang saya diberikan elaun, tapi apa yang saya buat ini bukan untuk elaun semata-mata. Saya niat nak belajar dan kumpul pahala. Paling penting, saya nak bantu petugas barisan hadapan yang ada," katanya.

Dwan berkata, setiap hari dia menguruskan hampir 100 jenazah Covid-19. Dia juga bersyukur kerana setakat ini semuanya dipermudahkan Allah.

"Saya bertugas dari jam 8 pagi hingga 9 malam. Pemakaian PPE pula perlu ditukar beberapa kali selain kena pakai sarung tangan dengan lapisan yang banyak," katanya.

Dalam pada itu, Dwan turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana mewujudkan PriVo.

"Sekurang-kurangnya ia memberi peluang kepada orang ramai yang mahu menjadi sukarelawan dalam membantu petugas barisan hadapan. Jadi, saya mahu mengajak belia untuk turut serta. Tak nak uruskan jenazah, bahagian lain ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:55 PM