Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan rock era 90-an, Olan iaitu Dwan, 59, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat serangan angin ahmar ringan selain positif Covid-19, semalam.

Rakan baiknya, Afee yang juga penyanyi kumpulan U-Topia berkata, isteri Dwan, Zarina memaklumkan suaminya mulanya mengalami batuk-batuk, malam kelmarin.

"Dia juga lihat muka Dwan berubah namun disangkakan tiada apa-apa dan taklah risau sangat. Pagi semalam isterinya mendapati pipi Dwan mula senget.

"Malah, Dwan juga tiba-tiba lupa nama isteri dan anak mereka membuatkan isterinya risau dan segera menghubungi ambulans. Di HSB, doktor mengesahkan Dwan positif Covid-19. Doktor juga mengesahkan dia lumpuh sebelah badan kiri dan kini berada di Zon Kuning HSB," katanya.

Sementara itu, rakan Dwan iaitu Megat Syafnir menerusi Facebook berkata, dia diberitahu Zarina bahawa saluran pembuluh darah penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Bandar Tasik Selatan dan Kenangan Semalam itu pecah dan pembedahan tidak dapat dilakukan atas faktor usia.

Dwan atau nama sebenarnya Mohd Radzuan Yasin yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan mencipta populariti pada awal 1990-an bersama kumpulan Olan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2022 @ 11:40 AM