Dr Zambry (kanan) melawat sukarelawan Kemas menjahit PPE untuk petugas kesihatan pada Majlis Simbolik Penyerahan PPE kepada barisan hadapan di Pejabat Kemas Parlimen Lumut, Seri Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Dr Zambry (kanan) melawat sukarelawan Kemas menjahit PPE untuk petugas kesihatan pada Majlis Simbolik Penyerahan PPE kepada barisan hadapan di Pejabat Kemas Parlimen Lumut, Seri Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi


SERAMAI 20 sukarelawan dari Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Manjung menyumbang kemahiran menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan barisan petugas hadapan.

Pegawai Kemas Daerah Manjung, Azril Yazan Samsudin berkata, usaha itu dilakukan sejak 10 April lalu dan sehingga kini lebih 350 set PPE terdiri gaun isolasi, sarung kaki dan tudung kepala sudah disiapkan.

Menurutnya, set PPE berkenaan sudah diserahkan untuk kegunaan petugas di Hospital Seri Manjung (HSM) dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.

“Kami menyumbang daripada segi kemahiran menjahit, manakala material pula disediakan pihak hospital sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan bertungkus-lumus menangani wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berklata demikian ketika ditemui pada Majlis Simbolik Penyerahan PPE oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di Pejabat Kemas Lumut, hari ini.

Dalam majlis berkenaan, Dr Zambry turut menyerahkan sumbangan dua unit mesin pemotong kain untuk kegunaan Kemas Lumut.

Katanya, mereka juga yakin dapat meningkatkan pengeluaran PPE dengan sumbangan mesin pemotong itu memandangkan ketika ini kerja memotong kain dibuat secara manual.

Sementara itu, Dr Zambry berkata, sumbangan mesin pemotong kain terbabit dapat membantu sukarelawan Kemas menyiapkan PPE untuk kegunaan petugas kesihatan yang menjadi keperluan penting ketika ini.

Katanya, beliau juga dimaklumkan petugas di HSM memerlukan 7,000 set PPE sebulan dan menyeru lebih ramai sukarelawan dapat membantu usaha berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 5:08 PM