Dwan Olan (tengah) menerima kunjungan rakan termasuk Afee U-Topia (kanan)
Dwan Olan (tengah) menerima kunjungan rakan termasuk Afee U-Topia (kanan)
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan rock Olan, Dwan yang mengalami serangan angin ahmar ringan selain positif Covid-19, Mac lalu memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik.

Dwan atau nama sebenarnya Mohd Radzuan Yasin yang dihubungi menerusi mesej aplikasi WhatsApp bagaimanapun berkata, dia masih lagi mengalami masalah pertuturan dan memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya.

"Dah makin sihat. Masalah percakapan yang tak pulih pulih lagi," katanya.

Baru-baru ini, Dwan dikunjungi rakan-rakan artis seangkatannya iaitu Blank Gamma, Afee U-Topia, Yazid Sejati, Ewan Fair dan Burn Meditasi mewakili Malaysia Rock Legends Fan Club.

Ditanya reaksinya menerima kunjungan mereka, Dwan berkata, dia okey tetapi kadang-kadang perasaannya terusik juga untuk sembuh semula macam dulu.

Selain itu, dia turut melahirkan keinginan untuk kembali aktif menyanyi seperti dahulu.

Sementara itu, Afee berkata, keadaan kesihatan Dwan sudah 80 peratus sihat, namun reaksinya menerusi percakapan agak lambat.

"Kami dari MRLFC buat keputusan untuk melawat Dwan selepas lama tidak berbuat demikian dan beri sumbangan peribadi masing-masing.

"Team kami diketuai oleh Blank Gamma dan ahlinya seramai 10 orang. Kami banyak berhubung menerusi grup WhatsApp.

"Kami memang hadkan 10 ahli setakat ini dan akan fikirkan jika ada artis lain nak sertai. Apapun kami hanya akan ambil artis seperjuangan," katanya.

Menerusi Facebooknya, Afee turut memuat naik video Dwan sedang menyanyi dan baginya ia adalah perkara biasa.

"Kalau menyanyi automatik mulutnya bergerak. Bercakap itu yang agak payah. Ia sudah biasa bermain dibibirnya. Kalau menyanyi lagu orang lain mungkin agak payah juga," katanya.

Terdahulu, Dwan yang mencipta populariti pada awal 1990-an menerusi lagu Cinta Bandar Tasik Selatan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 9 Mac dan dibenarkan keluar pada 11 Mac selepas menerima rawatan doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 12:20 PM