Ahmad Ibrahim. FOTO AZIAH AZMEE
Ahmad Ibrahim. FOTO AZIAH AZMEE
Ridzuan Abdul Rahman

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) hari ini turun padang untuk melihat sendiri pematuhan syarikat produksi drama terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam penggambaran.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, ia satu lawatan mengejut buat syarikat produksi yang rancak melakukan penggambaran.

"Memang kami merancang untuk buat lawatan dan ia ada dalam senarai kami. Contohnya, hari ini nak ke mana dan esok pula nak ke mana. Tapi kami takkan beritahu awal-awal dan apabila dekat dengan lokasi barulah kami akan maklumkan kepada syarikat produksi. Ini kerana kami nak tengok sendiri bagaimana persediaan mereka dan pematuhan kepada SOP," katanya.

Antara yang dikunjungi ialah Orangetree Production Sdn Bhd yang menjalani penggambaran drama bersiri Kebaya Kasut Kanvas di Elmina West, Shah Alam.

Drama arahan Emi Suffian Sabhe itu menampilkan pelakon Rozita Che Wan, Nabila Razali, Ikmal Amry dan ramai lagi.

Ahmad Ibrahim berkata, dia berpuas hati dengan pematuhan mereka terhadap SOP penggambaran.

"Kami bangga dengan kerjasama yang diperlihatkan. Mereka betul-betul ikut syarat-syarat dalam SOP. Kalau sekiranya tak diikuti, kami akan bagi nasihat. Kami nak semua syarikat produksi mengikuti SOP seperti yang dipraktikkan oleh produksi ini," katanya.

Menurutnya, sekiranya mana-mana syarikat produksi melanggar SOP, FDAM akan berikan nasihat buat kali pertama.

"Kami tak nak ia berlaku dalam industri kita. Apa yang kita nakkan ialah disiplin. Harus diingat tagline Kita Jaga Kita. Perkataan ini harus kita sematkan dalam sanubari supaya kita berhati-hati, menjaga dan mengawasi sekeliling kita. Ia kerana penularan Covid-19 tak dapat diagak dan boleh berlaku pada bila-bila masa. Itu yang ditakuti," katanya.

Selepas memberi nasihat dan produksi sama masih melanggar SOP, FDAM tidak akan teragak-agak bertindak tegas.

"Kami akan minta mereka hentikan penggambaran dan akan merujuk perkara ini kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan mereka akan ambil tindakan sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 9:46 PM