AHMAD Ibrahim. FOTO arkib NSTP
AHMAD Ibrahim. FOTO arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) meminta agar semua pihak atau individu yang terbabit dengan penggambaran drama agar mempunyai dokumen lengkap untuk mengelakkan kesukaran bekerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasa.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, syarikat produksi perlu mempunyai Sijil Perakuan Penggambaran (SPP), manakala pelakon pula kad keahlian persatuan seni.

"SPP perlu dilekatkan di cermin depan serta belakang kenderaan dan ia sudah cukup jadi bukti kita terbabit dengan penggambaran.

"Pelakon pula perlu mempunyai kad keahlian mana-mana persatuan dan ia sudah memadai.

"Tak perlulah setiap kali nak berlakon mereka ke balai polis untuk dapatkan surat kerana bilangan pekerja sesebuah prokduksi bukan sedikit," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara seperti pemakaian pelitup muka juga perlu dibuat.

"Janganlah membawa penumpang melebihi had yang ditetapkan. Bagaimanapun FDAM berasa wajar kebenaran diberikan untuk tiga atau empat penumpang mengisi satu kereta.

"Kebenaran hanya diberikan untuk dua orang sekarang. Apa bezanya jika diletakkan lagi dua penumpang belakang? Sama juga jaraknya.

"Dua orang yang dibenarkan adalah untuk keluar cari makan dan kecemasan seperti cari ubat. Tapi untuk mereka yang bekerja produksi, benarkanlah sehingga empat orang dengan syarat mengenakan pelitup muka," katanya.

Dalam masa sama, FDAM merancang untuk membawa perkara itu kepada MKN tidak lama lagi. 

"Tak dinafikan ada juga petugas polis yang bagus. Dengan adanya SPP dan kad keahlian, rasanya mereka faham yang penggiat seni itu bekerja.

"Penggambaran drama kini sudah beralih ke lokasi luar seperti Pahang, Kelantan dan Johor dan ia kena ada SPP.

"Di Lembah Kelang sendiri bukannya semua kawasan Zon Merah, jadi ada tempat yang sesuai untuk penggambaran," katanya.

Mat London berkata, biarpun hanya mewakili pengarah, mereka tetap prihatin pada nasib kru produksi dan pelakon kerana kerjaya mereka saling berkaitan.

"Kami juga minta penerbit sokong apa juga tindakan FDAM bagi kebaikan bersama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2020 @ 6:44 PM