PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London. FOTO Aziah Azmee
PRESIDEN Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman


PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meluahkan perasaan gembira apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan lebih daripada 20 orang terbabit dalam sesuatu penggambaran.

Presidennya, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, syarat penggambaran yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) sebelum ini memberi tekanan psikologi kepada semua penerbit.

"Saya bukan memikirkan produksi yang baru nak mulakan penggambaran tapi lebih memikirkan mereka yang dah buat penggambaran tapi tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebanyak 35 syarikat produksi kini terbabit buat program untuk TV yang kebanyakannya bersiri. Mereka ini perlukan kru yang ramai," katanya kepada Harian Metro. 

 Menurutnya, apabila bilangan kru dikecilkan, dimana hendak ditempatkan lagi lima kru sedangkan mereka sudah menandatangani kontrak.

"Mereka ini patut datang bekerja untuk penggambaran. Apa nasib mereka? Inilah yang saya perkatakan. Apa beza 20 dan 25 orang kalau kita dapat ikut SOP. Pastinya tiada beza.

"Jadi saya mohon kerajaan benarkan 25 orang atau minimum 30 orang. Bagilah kami peluang. Kami hantar surat kepada MKN.

"Alhamdulillah...kerana saranan kami diteliti dan selepas itu diterima," katanya.

Menurutnya, syarat kuarantin yang ditetapkan sebelum ini juga dibantah mereka. 

"Saya katakan sebelum ini kita semua dah dikuarantin tiga bulan dan ternyata semua bebas Covid-19.

"Asalkan, mereka yang datang lokasi buat 'check' suhu dan tengok semuanya okay, maka berhak untuk jalani penggambaran. 

"Alhamdulillah semua saranan ini diterima. Terima kasih kepada kerajaan," katanya.

Ahmad Ibrahim berkata, FDAM bertegas orang luar yang tiada kena mengena dengan sesuatu produksi dilarang berada di lokasi penggambaran tanpa alasan yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 12:52 PM