MUSTAQIM Bahadon
MUSTAQIM Bahadon
Sudirman Mohd Tahir

 

PELAKON Mustaqim Bahadon memilih untuk mengusahakan sambal bagi memudahkan golongan suri rumah dan individu yang suka memasak.

Mustaqim, 35, berkata, Sambal NLTJ yang dikomersialkan hujung tahun lalu itu mula mendapat permintaan tinggi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Saya dapat idea menjual sambal kerana tiada lagi ibu sambal rasa asli dan cara mudah masak di pasaran. Sambal ini dipek bagi memudahkan suri rumah atau sesiapa yang menggemari sambal boleh terus makan tanpa perlu dimasak semula dan ditambah apa-apa perasa.

“Sambal sudah siap dimasak selama enam jam. Jimat masa suri rumah untuk sediakan sambal. Memang sesuai buat segelintir suri rumah yang tak cekap memasak, sambal ini mampu menyelamatkan maruah anda,” katanya.

Menurut Mustaqim, resipi sambal itu daripada ibu bapa sahabat lamanya yang pernah berniaga di tepi jalan.

“Apabila saya memberi rakan artis mencuba dan ada yang masak dengan menjadikan ia pes masakan, maklum balas daripada mereka sangat positif. Semua cakap sedap dan secukup rasa. Dari situ, sambal ini terus mendapat permintaan dari orang ramai termasuklah sepanjang PKP ini,” katanya kepada Harian Metro.

Mustaqim yang juga pelakon Pujaan Hati Kanda berkata, musim PKP memberikan hikmah buat dirinya selepas semua aktiviti seni dan penggambaran ditangguhkan.

“Banyak hikmah di sebalik PKP ini. Walaupun semua penggambaran ditangguh, tapi Allah berikan saya peluang ini.

“Saya juga dapat membantu rakan dan peminat untuk berniaga bersama dengan menjadi ejen atau ‘dropship’. Alhamdulillah, setakat ini lebih 1,000 pek terjual dalam masa sehari.

“Saya masih buka peluang untuk sesiapa saja yang mahu mula berniaga kecil-kecilan sebagai ejen atau ‘dropship’ untuk buat duit raya. Saya mengimpika jenama sambal ini sama taraf seperti jenama yang sudah terkenal di Malaysia,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 1:43 PM