EKSEKUTIF Acara Coca-Cola Azhar Shikh Hatim (kanan) menyampaikan cenderahati kepada  Fazlila  (tiga dari kiri) di Bazar Ramadan  Gelang Patah.
EKSEKUTIF Acara Coca-Cola Azhar Shikh Hatim (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Fazlila (tiga dari kiri) di Bazar Ramadan Gelang Patah.
Norazimah Narudin


Gelang Patah: Bau dan aroma ikan bakar yang dijual seorang gadis di Bazar Ramadan Gelang Patah, di sini, sememangnya menarik perhatian pengunjung yang lalu lalang mencari juadah berbuka puasa.

Selain bau, warna dan aroma sambal dibakar di atas daun pisang sudah cukup menyelerakan untuk membuat pengunjung bazar terliur untuk membeli menu berbuka puasa selepas sehari berpuasa.

Peniaga ikan bakar, Fazlila Nurfazlin Muzammil, 22, yang juga pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka memulakan perniagaan itu pada 2015 mempertaruhkan resipi ikan bakar arwah ibunya.

“Ikan bakar ini dimasak dengan 10 ramuan rahsia. Apa yang uniknya sambal kami tidak berapa pedas dan boleh dimakan semua peringkat umur dan ditambah pula dengan perahan limau.

“Terdapat tiga jenis ikan iaitu pari, cencaru dan kembung. Paling laku dijual semestinya pari kerana isinya lembut dan juga manis,” katanya.

Dalam sehari gadis itu boleh menjual ikan dalam anggaran 60 hingga 80 ekor selepas beroperasi selama empat jam di bazar Ramadan.

Selain berniaga di bazar Ramadan, Fazlila seorang pelajar dan masih dalam latihan industri praktikal dalam bahagian pengurusan dan menganggap perniagaan itu adalah minatnya.

“Saya berniaga kerana minat mendalam terutama makanan. Keluarga saya juga majoritinya berniaga dalam perniagaan makanan,” kata Fazlila yang mendapat sumbangan apron dan payung daripada Coca-Cola.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 7:22 AM