AISHAH raih keuntungan apabila jadi pengedar produk kosmetik dan penjagaan kulit.
AISHAH raih keuntungan apabila jadi pengedar produk kosmetik dan penjagaan kulit.
Yusliza Yakimir Abd Talib

PERJALANAN yang ditempuhi wanita ini tidak semudah disangka apabila berdepan dugaan bayi yang dilahirkan enam tahun lalu didiagnosis menghidap penyakit kekurangan enzim, glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) mengakibatkan kulitnya sangat alergik dengan persekitaran.

Masalah bayinya itu memerlukan penjagaan rapi hingga pakaiannya juga tidak boleh dibasuh sembarangan bagi mengelak alahan.

Malah, bayinya ketika itu perlu menghadiri banyak rawatan susulan kerana bacaan darah kurang memuaskan hingga memaksa wanita ini mengambil cuti malah lebih menyukarkan keadaan apabila tiada pengasuh berani menjaga kerana keadaannya itu.

Mahu atau tidak, Aishah Yusoff, 34, terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja meskipun menyedari pasti keperluannya sekeluarga tidak mencukupi kerana perlu bergantung penuh kepada pendapatan suami.

“Apabila bekerja makan gaji ini, tak semua orang akan faham apabila kita terpaksa ambil cuti untuk bawa anak ke rawatan susulan. Jalan terbaik adalah berhenti kerja sebab nak tumpukan 100 peratus pada anak saya yang baru lahir dan berpenyakit serta memerlukan penjagaan khas.

“Selepas berhenti kerja, saya tidak berdiam diri sebaliknya sambil menguruskan dua anak yang ketika itu baru berusia tiga tahun dan empat bulan, saya berniaga roti dan kerepek.

“Kebetulan ibu saya juga tidak sihat kerana mengalami masalah jantung dan darah tinggi, jadi saya bersama anak pulang ke kampung di Jerantut, Pahang untuk menjaganya,” katanya.

Menurutnya, selepas melepaskan jawatan sebagai juruteknik, dia menjual pelbagai barangan antaranya roti, kek, kerepek dan sambal.

Walaupun pendapatan tidak seberapa, Aishah tetap bersyukur kerana dapat menambah sedikit duit yang diberikan suaminya untuk perbelanjaan.

“Sebelum ini saya sudah biasa bekerja dan ada gaji sendiri, jadi apabila berhenti kerja memang diakui agak tertekan kerana tiada wang sendiri untuk beli barang yang disukai. Sebab itu saya memberanikan diri menjual dalam talian.

“Segalanya berubah selepas kenalan Facebook yang membeli sambal saya mengajak menjadi dropship produk kosmetik dan penjagaan kulit, awal tahun ini,” katanya.

Baginya, memulakan perniagaan dengan produk sendiri memerlukan modal besar dan tidak semua orang mampu berdepan risiko kerugian jika produk itu gagal di pasaran.

Maka, menjadi pengedar, stokis, ejen jualan atau dropship adalah antara penyelesaian untuk menjana pendapatan menerusi komisen dan keuntungan sekiranya produk berjaya dijual.

Risikonya tidak sebesar pengeluar produk yang perlu memikirkan kos pengeluaran, pembuatan, strategi pemasaran dan risiko barang tidak laku atau tidak mendapat sambutan.

BERSAMA suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
BERSAMA suami dan anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya.

Ada yang menganggap menjual produk orang lain dengan mendapat sedikit keuntungan tidak mampu membuat seseorang itu kaya dan mengaut keuntungan besar.

Bagaimanapun, wanita ini berjaya membuktikan tidak semestinya perlu menjadi pengasas produk atau mengeluarkan barangan sendiri untuk berjaya dalam perniagaan.

Bermula dengan hanya menjual barangan dan produk syarikat lain sebagai asas perniagaan, siapa sangka dia mampu memperoleh pendapatan menggalakkan.

Pengorbanannya dirasakan tidak sia-sia kerana mampu mengubah nasib diri dan keluarga bahkan berkat sokongan suami tercinta, Aishah kini semakin fokus mengukuhkan platform perniagaan yang diusahakan itu.

Keazaman dan sikap tidak berputus asa Aishah membuktikan walaupun menjadi suri rumah sambil menjaga anak bermasalah kesihatan dan ibu yang sakit juga mampu menggapai impian yang sebelum ini dirasakan mustahil.

“Saya sedar kini tiada yang mustahil asalkan kita berfikiran positif dan nekad memburu cita-cita. Kalau saya sebagai suri rumah boleh lakukan perkara yang dirasakan mustahil, percayalah bahawa tangan yang menghayun buaian ini juga mampu menggoncang dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:00 AM