MUSTAQIM Kumar Abdullah  (berdiri dua dari kiri) bersama yang menjayakan program Jom Kibarkan Jalur Gemilang. FOTO Ihsan Mustaqim Kumar Abdullah
MUSTAQIM Kumar Abdullah (berdiri dua dari kiri) bersama yang menjayakan program Jom Kibarkan Jalur Gemilang. FOTO Ihsan Mustaqim Kumar Abdullah
Redzuan Muharam


Shah Alam: Selepas dikenali dengan aktiviti membersihkan taman permainan secara sukarela ketika Covid-19, Mustaqim Kumar Abdullah tampil menganjurkan program Jom Kibarkan Jalur Gemilang, baru-baru ini.

Mustaqim, 46, atau dikenali sebagai Hero Bukit Jelutong dalam kalangan penduduk berkata, sebanyak 400 Jalur Gemilang diagihkan sempena program berkenaan yang diadakan di Stesen Petronas Bukit Jelutong, di sini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat tanpa mengira umur, bangsa, agama mahupun sentimen politik.

"Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada yang terdahulu dan jadi program tahunan sempena Hari Kebangsaan. Alhamdulillah, sambutan memberangsangkan dengan kehadiran 700 orang.

"Program juga berjalan lancar dengan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi merangkap Pengerusi Jawatankuasa (Exco)Belia, Sukan dan Keusahawanan serta Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusuf yang turut hadir memberi sokongan ," katanya.

Menurut Mustaqim, program itu cukup istimewa kerana memberi peluang kepada orang ramai yang hadir untuk melakukan pemeriksaan kenderaan percuma hasil inisiatif pihaknya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) BJrians dengan syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd.

Melihat sambutan diterima, Mustaqim tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan penganjuran acara sama pada masa akan datang.

"Meskipun berskala kecil, penganjuran program ini diharap mendekatkan diri dengan pelbagai lapisan masyarakat. Saya memang suka menganjurkan dan ambil bahagian dalam program sebegini.

"Ia kerana program sebegini adalah satu bentuk pendidikan dan langkah menyemai perasaan cinta kepada negara dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda yang kini lebih dekat

gajet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 5:37 PM