AMRAN bersama produk Sambal Penyet yang dijual secara dalam talian.
AMRAN bersama produk Sambal Penyet yang dijual secara dalam talian.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

RESEPI Arena Sdn Bhd, francaisor bagi jenama Dapur Penyet menumpukan cabang perniagaan baharu dengan memperkenalkan Program Reseller Dapur Penyet (PRDP).

Pengarah Urusannya, Amran Abd Hamid berkata, program itu adalah salah satu inisitaif Dapur Penyet untuk memberi peluang kepada kakitangannya dan orang ramai terutama suri rumah, ibu tunggal menjana pendapatan sampingan dengan menjadi ejen dan dropship.

Katanya, sejak program itu diperkenalkan bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, pihaknya berjaya mempunyai 1,000 peserta yang memilih menjadi dropship dan ejen.

"Disebabkan impak pandemik Covid-19, kami akui jualan merosot hingga 70 ke 80 peratus, lebih-lebih lagi selepas pelaksanaan PKP.

"Saya terfikir apa penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan tanpa membuang pekerja sedia ada.

"Justeru, idea ini tercetus dan pada mulanya saya memberi peluang kepada kakitangan Dapur Penyet sendiri untuk mempromosi dan menjual sambal Dapur Penyet yang kami hasilkan dalam botol.

"Selain mendapat gaji tetap, mereka juga diberi komisen bagi setiap produk yang berjaya dijual. Saya tidak menyangka program ini mendapat sambutan begitu menggalakkan hingga ada pelanggan Dapur Penyet sendiri mendaftar menjadi ejen.

"Kami yakin lebih ramai yang akan menyertai program ini dan menyasarkan kira-kira 30,000 ejen pada masa akan datang di mana setiap bulan kami jangka seramai 3,000 akan mendaftar," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, setakat ini, Dapur Penyet menawarkan sembilan jenis produk antaranya sambal hijau, sambal merah dan makanan sejuk beku (kambing bakar, ayam penyet, ayam percik dan daging salai).

Amran berkata, bermula dengan modal serendah RM30, orang ramai yang berminat layak menjadi dropship Dapur Penyet dan mendapat margin keuntungan 10 peratus dan bagi ejen pula modal sebanyak RM240 dengan margin keuntungan 35 peratus.

Beliau berkata, harga runcit produk Dapur Penyet bermula antara RM15 hingga RM30.

"Kami menjual pada harga berpatutan dan pada waktu mencabar ini kaedah inovatif sangat diperlukan untuk terus kekal bertahan dalam pasaran.

"Orang ramai yang ingin membeli terus produk Dapur Penyet boleh melayari www.penyetmall.com.my atau Facebook (Dapur Penyet Malaysia)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2020 @ 7:01 AM