ADAM E berduet dengan bapa, Hattan pertaruhkan lagu duet Budak Kampung. FOTO Eizairi Shamsudin
ADAM E berduet dengan bapa, Hattan pertaruhkan lagu duet Budak Kampung. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


JIKA Datuk Hattan cukup dikenali dengan lagu popular meruntun kalbu seperti Memburu Rindu dan Rendang Tak Berbuah, lain pula genre muzik pilihan anaknya, Adam E, 21.

Apatah lagi, seiring perkembangan muzik tanah air pada masa kini semestinya Adam atau nama sebenar Adam Eiman Mohd Shukri lebih memilih genre muzik kegemaran golongan muda iaitu hip hop.

Mendapat sokongan padu bapanya, Adam tampil dengan lagu Budak Kampung hasil ilhamnya sendiri yang dirakam secara duet bersama Hattan.

Berbicara mengenai lagu Budak Kampung itu, Adam berkata karya itu padat dengan mesej positif yang mengingatkan orang ramai untuk tidak lupa asal usul.

“Walaupun berasal dari kampung, ia bukan halangan untuk seseorang itu berjaya dan paling ketara berhadapan kekangan bahasa.

“Pada senario kemodenan hari ini, ramai juga ‘budak kampung’ yang berjaya dan ada di antaranya sudah menjadi individu hebat.

“Jadi, menerusi lagu Budak Kampung ini saya mahu memadamkan jurang perbezaan yang pernah diwujudkan antara golongan bandar dan desa.

“Apatah lagi, saya juga sering melihat pelbagai label diletakkan hanya untuk membezakan orang kampung dan bandar. Biarpun, pada saya tidak ada beza,” katanya.

Bekerjasama dengan rakan baiknya dikenali Freddie Laut untuk menghasilkan lagu Budak Kampung itu, anak tunggal dalam keluarga ini berkata menimba ilmu penting.

Masih menuntut di sebuah kolej dalam bidang Perhubungan Awam dan Acara, Adam berkata kerjasama duet dengan bapanya juga bukan untuk menumpang nama dan populariti.

“Walaupun saya memang anak kepada Hattan, dalam kerjaya seni muzik ini kami berdua ada hala tuju genre masing-masing.

“Namun, saya gembira untuk lagu Budak Kampung ini ayah mahu bekerjasama kerana dia tertarik dengan melodi muzik yang dihasilkan.

“Malah, saya juga memberi kebebasan kepada ayah untuk menulis lirik lagu yang mahu dinyanyikannya sendiri dan alhamdulillah, kerjasama kami lancar,” katanya.

Ditanya tidakkah gentar bekerjasama dengan bapa sendiri yang banyak pengalaman, Adam berkata dia sentiasa bersikap terbuka menerima pendapat.

“Saya memang tahu ayah suka berkongsi pandangannya. Jadi, mana yang baik saya terima kerana sejak kecil sudah selalu bersama ayah.

“Saya memahami ayah dan yang pasti nasihat diberikannya sangat berguna. Paling utama, ayah banyak menasihatkan saya supaya jadi diri sendiri dan tidak mudah terpengaruh dengan cara orang lain,” katanya.

Sehubungan itu, video muzik video lagu Budak Kampung yang dimuat naik di YouTube sekitar sebulan lalu sudah mencatat lebih 160,000 tontonan.

Bahkan, dari segi komen dikongsikan pula kebanyakan pelayar YouTube menyukai melodi dan lirik lagu Budak Kampung yang dikatakan agak menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 6:30 AM