FOTO AFP.
FOTO AFP.
AFP

The Hague: Ketika ahli keluarga berkumpul hari ini, meratapi pemergian mangsa sempena ulang tahun ke-10 tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH17, harapan semakin pudar untuk melihat mereka yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat itu dihukum.

Hari ini, ratusan saudara mara serta wakil kerajaan dan orang kenamaan menghadiri acara di taman peringatan berhampiran lapangan terbang Schiphol, lokasi penerbangan itu berlepas pada musim panas, 17 Julai 2014.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh peluru berpandu BUK buatan Rusia di timur Ukraine, ketika dalam laluan penerbangan ke Kuala Lumpur.

Kesemua 298 penumpang dan anak kapal dalam pesawat disahkan terbunuh.

"Saya tidak fikir mereka yang bertanggungjawab akan dihukum," kata van Zijtveld, meluahkan kekecewaan selepas kehilangan anak perempuannya Frederique, 19, anak lelakinya Robert-Jan, 18, serta ibu bapa mentua dalam tragedi itu.

Menurutnya, pencerobohan ke atas Ukraine dan peningkatan perang dilancarkan Rusia sejak Februari 2022, menyebabkan dia sukar mempercayai bahawa mana-mana daripada pihak bertanggungjawab akan ditangkap tidak lama lagi.

Penganjur upacara memperingati mangsa tragedi itu berkata, majlis berkenaan disiarkan secara langsung di televisyen nasional mulai 1.30 tengah hari, manakala banyak bandar utama Belanda mengibarkan bendera separuh tiang, hari ini.

Katanya, beberapa individu akan berucap dan nama menyebut semua mangsa.

Mangsa tragedi itu berasal dari sekurang-kurangnya 10 negara membabitkan 196 daripadanya Belanda, 43 Malaysia dan 38 Australia.

Acara memperingati tragedi MH17 turut dirancang di tempat lain termasuk di parlimen Australia.

Pada November 2022, Mahkamah Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kehadiran tiga lelaki kerana peranan mereka dalam menjatuhkan pesawat itu di wilayah pro-Rusia yang dikuasai puak pemisah, ketika peringkat awal perang yang menyaksikan Moscow merampas semenanjung Crimea.

Hakim memaklumkan warga Rusia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko dari Ukraine, kesemuanya boleh dipertanggungjawabkan untuk pengangkutan peluru berpandu BUK dari pangkalan tentera di Rusia dan mengerahkannya ke tapak pelancaran, walaupun mereka tidak melancarkan peluru berpandu itu sendirian.

Tiada seorang pun daripada suspek yang bersalah mengambil bahagian dalam prosiding undang-undang atau mengakui peranan mereka dalam insiden itu.

Suspek lelaki keempat, Oleg Pulatov pula dibebaskan.

Walaupun penyiasat antarabangsa telah menangguhkan siasatan, kesimpulan dibuat bahawa terdapat petunjuk kukuh Presiden Rusia, Vladimir Putin meluluskan bekalan peluru berpandu yang menjatuhkan pesawat itu.

Rusia menafikan sebarang pembabitan dan menolak keputusan mahkamah pada 2022 sebagai skandal dan bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Kesatuan Eropah (EU) pada Selasa menyeru Moscow untuk bertanggungjawab dalam tragedi itu dan bekerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan keadilan.

Ketua dasar luar EU, Josep Borrell berkata, bukti dikemukakan semasa perbicaraan MH17 adalah jelas, sistem peluru berpandu BUK yang digunakan untuk menjatuhkan penerbangan MH17 adalah milik angkatan tentera Persekutuan Rusia, tanpa keraguan.

Sementara itu, Rusia pula enggan mengekstradisi mana-mana suspek, mengatakan ia adalah haram di bawah undang-undang Rusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:33 PM