MCILROY gigih berlatih menjelang Terbuka Britain. FOTO AFP
MCILROY gigih berlatih menjelang Terbuka Britain. FOTO AFP
AFP

Troon, United Kingdom: Rory McIlroy mahu bangkit semula selepas kekecewaan di Terbuka Amerika Syarikat (AS), manakala pemain golf nombor satu dunia, Scottie Scheffler mahu melengkapkan musim gemilang apabila Terbuka Britain berlangsung di Troon, bermula esok.

Acara utama terakhir tahun ini memberi peluang kepada McIlroy untuk melupakan kesilapan dua putt di Pinehurst, bulan lalu, yang menyebabkan dia terlepas peluang menamatkan kemarau sedekad bagi meraih gelaran utama apabila tewas kepada juara, Bryson DeChambeau dengan hanya satu pukulan.

Sejak itu, McIlroy mengelak daripada menjadi tumpuan dan hanya bermain kali pertama di Terbuka Scotland, minggu lalu, apabila dia gagal mempertahankan gelaran apabila menamatkan saingan di tempat keempat.

Pemain nombor dua dunia itu menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik dalam lima daripada tujuh edisi terakhir Terbuka Britain iaitu sebahagian daripada 21 penamat di kelompok 10 terbaik sejak kali terakhir memenangi kejohanan utama.

McIlroy menyifatkan dia melepaskan peluang keemasan di Terbuka AS apabila dua kali gagal melakukan putt dari jarak empat kaki di lubang ke-16 dan ke-18.

Pemain Ireland Utara itu kekal yakin mampu mengatasi kekecewaan itu untuk meraih gelaran Terbuka Britain yang kali terakhir dimenanginya pada 2014.

"Saya hanya akan tahu kesan kegagalan di Terbuka AS itu jika saya berada dalam situasi sama pada Ahad ini," kata McIlroy mengenai peluangnya di Troon.

"Saya harap berada dalam situasi seperti itu sekali lagi di sini dan jika ia berlaku, sudah pasti saya tahu bagaimana cara untuk menanganinya dengan lebih baik."

Manakala Scheffler muncul pemain mahu ditewaskan walaupun setakat ini gagal membawa prestasi cemerlang dalam Jelajah PGA di AS merentasi Atlantik untuk mencabar rangkaian golf.

Pencapaian terbaik pemain AS itu di Terbuka Britain sekadar terikat di tangga kelapan pada 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 11:48 AM