TERUS menghiburkan penonton selagi mampu.
TERUS menghiburkan penonton selagi mampu.
Norhayati Nordin


BAGI penggemar muzik rock, balada dan blues, semestinya nama Datuk Hattan, 56, sudah tidak asing lagi. Apatah lagi, figura berkaliber ini sangat popular dengan lagu seperti Rendang Tak Berbuah, Memburu Rindu dan Mahligai Syahdu.

Sudah tiga dekad bertahan dalam kerjaya nyanyian diceburi sejak 1987, Hattan atau nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin hingga kini terus bersemangat dalam berkarya.

Berbicara impiannya meskipun kini industri muzik tanah air didominasi golongan penyanyi muda dikenali Budak Baru Nak Up atau BBNU, Hattan berkata, tidak ada istilah gentar baginya.

“Setiap manusia di bumi ini, sudah ditetapkan Allah SWT, rezeki masing-masing dan hanya perlu terus berusaha untuk berjaya. Bagi saya, BBNU ada kelompok peminat tersendiri.

“Begitu juga situasinya buat penyanyi senior seperti saya. Semestinya, masih ada peminat yang terus setia menyokong. Apapun, saya akan terus menghiburkan penonton selagi mampu.

“Malah, untuk kerjaya nyanyian saya sebenarnya bercadang nak menghasilkan album. Bagi saya, selain tumpuan pada merakam lagu, album juga bagus jika dapat diterbitkan,” katanya.

Bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan pemuzik muda masa kini, Hattan berkata, setakat ini beliau sudah mendapatkan beberapa lagu baharu.

Hattan yang pernah bergabung dengan penyanyi W.A.R.I.S pada 2014 dengan lagu duet berjudul Gadis Jolobu berkata, beliau sangat bersyukur dengan kejayaan karya itu.

“Ketika merakamkan lagu Gadis Jolobu itu, ia percubaan saya. Apatah lagi, saya tertarik dengan melodi dan lirik dihasilkan W.A.R.I.S. Saya suka pada lagu itu.

“Alhamdulillah, pendengar menerima gabungan kami yang saya anggap ‘win win situation’ dan kerjasama dibuat itu sebagai membantu antara satu sama lain,” katanya.

Hattan yang dikenali sebagai juri lantang bersuara berkata, selain melihat lagu yang sesuai dengan vokal, beliau mengakui memilih rakan duetnya.

“Saya tidak akan menyanyi dengan sembarangan orang. Saya pasti akan pilih penyanyi yang dilihat sesuai. Kriteria tertumpu pada kawalan vokal serta lagu yang ‘catchy’ didengar.

“Apapun, saya kini dalam perancangan untuk menyanyi duet bersama Datuk M Nasir. Kami masih berbincang dan urusan lagu, saya serahkan pada Nasir untuk tentukan.

“Saya terima apa saja karya lagu akan dihasilkan Nasir karana yakin dan percaya pada sentuhan ilhamnya. Bakat Nasir sangat saya kagumi dan dia insan seni hebat,’ katanya.

Selain itu, Hattan juga menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan penyanyi hip hop baharu yang semakin mencipta nama iaitu Yonnyboii.

“Saya berminat nak kerjasama dengan Yonnyboii kerana mendapati sentuhan muzik dihasilkannya Yonniboii sangat unik dan ‘simple’. Pada saya, dia (Yonnyboii) memiliki bakat seni tersendiri.

“Apapun, saya juga kini dalam persediaan untuk konsert solo pertama di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) yang dirancang berlangsung pada Jun depan.

“Terus terang, saya teruja untuk menjayakan konsert ini kerana sudah lama menunggu peluang. Saya tak sabar nak hiburkan peminat,” katanya.

Mengharapkan konsert itu berjaya dan mendapat sambutan, Hattan berkata, persembahan dalam konsert berkenaan mengisahkan rentetan perjalanan kerjaya seni diceburinya sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 6:46 AM