ARIFF Bahran. FOTO Rohanis Shukri
ARIFF Bahran. FOTO Rohanis Shukri
Norhayati Nordin

HAMPIR tiga tahun menempa nama di arena muzik tanah air, penyanyi Ariff Bahran, 22, sudah menunjukkan potensi besar.

Dalam kalangan peminat, nama pemuda yang mesra dengan sapaan Bahran ini pastinya tidak asing lagi.

Malah, lagu nyanyian Bahran seperti Kata Akhirmu, Juara Dusta dan Bicara Rasa cukup mesra pendengar.

Lagu Bicara Rasa duet bersama penyanyi Sarah Suhairi kini berada dalam carta lagu popular di stesen radio.

Apapun, kejayaan dimiliki kini belum mampu membuatkan Bahran puas dan melayakkan dia keluar dari zon ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU).

Bahran ketika ditemui berkata, dia masih BBNU kerana belum setanding dengan rakan lain.

TIDAK terburu-buru cipta lagu. FOTO Rohanis Shukri
TIDAK terburu-buru cipta lagu. FOTO Rohanis Shukri

“Saya masih mendaki perlahan dan perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan nama dan bakat. Agak terlalu jauh rasanya bakat saya jika dilihat pada kejayaan rakan lain seperti Haqiem Rusli, Ismail Izzani dan As’ad Motawh.

“Saya kagum dan bangga dengan kejayaan mereka terutama dalam penciptaan lagu dan kini saya mencuba,” katanya.

Bahran berkata, bagi memantapkan bakat penciptaan lagunya, dia giat hasilkan melodi dan lirik.

“Setakat ini, saya sudah ada beberapa lagu hasil ciptaan sendiri dan akan diketengahkan nanti. Cuma, saya tidak mahu terburu-buru dan biar semuanya ikut perancangan bersama syarikat rakaman.

“Apatah lagi, saya masih terikat dengan kontrak dan perlu menghormatinya. Bagi saya, tidak ada yang perlu dikejar,” katanya.

Selain aktif menyanyi, Bahran juga pernah menceburi bidang lakonan dengan membintangi drama dan telefilem.

“Keutamaan saya tetap pada nyanyian dan muzik. Manakala, lakonan pula hanya sekadar percubaan. Alhamdulillah, saya boleh berlakon

cuma sekarang belum ada tawaran baharu dan tengoklah rezeki. Pada Disember tahun lalu saya tampil dengan drama Cerita Hantu Asrama di Astro Prima,” katanya.

Dalam drama bergenre seram itu, Bahran berlakon di samping Tiz Zaqyah, Sharifah Rose, Yuna Rahim, Aiman Tino Adam Lee dan Sweet Qismina.

Muncul dengan lagu trio

Selepas tampil duet, Bahran yang gemar bereksperimen teruja untuk mempertaruhkan lagu barunya berjudul Tiga Kucing.

Menariknya lagu ini, apabila ia dinyanyikan secara bertiga membabitkan Bahran, Adam Eiman dan Yonnyboi.

Bahran berkata, lagu Tiga Kucing yang akan dilancar sekitar Februari depan adalah kerjasama kali pertamanya dengan penyanyi hip hop.

“Saya sendiri sudah terbiasa dengan lagu balada dan pop. Jadi, tiba masa untuk saya cuba mempelbagaikan genre.

“Ditambah lagi, sekarang pun 2020 maka saya fikir ingin tampil dengan karya berbeza,” katanya.

Bahran berkata, untuk lagu Tiga Kucing itu dia dan Adam Eiman sepatutnya bekerjasama dengan penyanyi Zynakal.

“Namun, atas alasan tertentu Zynakal undur diri dan tempatnya digantikan Yonnyboi. Bagaimanapun, kami tidak berselisih faham kerana Zynakal yang mahu menarik diri dan keputusan itu dihormati,” katanya

Mengulas mengenai judul lagu Tiga Kucing itu, Bahran berkata, kucing sangat simbolik dengan apa yang mahu diceritakan.

Katanya, lagu Tiga Kucing berkisar pada percubaan gigih dirinya dalam meneroka dunia penciptaan lagu.

Menurut Bahran, ia adalah projek eksperimennya dan sejauh mana karya itu akan diterima dia tidak tahu.

“Paling utama bagi saya adalah berani mencuba. Sama ada lagu Tiga Kucing akan berjaya atau tidak terserah kepada pendengar kerana yang pasti kami mencuba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 January 2020 @ 6:00 AM