Ivan, Tengku Adnan bersama Tunku Azizah (empat dari kanan)
Ivan, Tengku Adnan bersama Tunku Azizah (empat dari kanan)
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, pengacara dan pereka fesyen Indonesia, Ivan Gunawan meluahkan rasa teruja selepas berkesempatan mengadap Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, semalam.

Ivan berkata, pertemuan pertama kali itu adalah bagi membincangkan mengenai rekaan busana untuk majlis keluarga kerabat diraja negeri itu yang akan diumumkan kelak.

"Terima kasih diucapkan kepada baginda Tunku Azizah kerana sudi mencemar duli dan meluangkan masa bersama. Baginda juga sudi melihat rekaan-rekaan busana yang saya tampilkan.

"Pertemuan malam semalam agak panjang dan dapat saya gambarkan baginda sebagai seorang yang sangat mesra dan peramah," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai kerja-kerja seni dan berkaitan fesyen, Ivan berkata, dia juga turut merancang untuk melebarkan sayapnya di sini.

"Insya-Allah, kalau ada peluang untuk melebarkan sayap seni dan fesyen saya di sini, saya akan ambil peluang itu. Bulan hadapan, saya akan ke sini lagi untuk beberapa urusan," katanya.

Selain Tunku Azizah, turut bersama Ivan adalah Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta keluarga.

Sepanjang tiga hari di Kuala Lumpur, Ivan turut meluangkan masa bersama beberapa sahabatnya dalam industri fesyen antaranya, Datuk Jovian Mandagie dan Rizman Ruzaini.

Di Indonesia, Ivan mengacarakan program bual bicara paling popular, Brownis bersama tiga pengacara lain iaitu Ruben Onsu, Ayu Ting Ting dan Wendi Cagur yang kini sudah tujuh tahun ditayangkan.

Selain itu, dia yang juga baru sahaja meraikan 20 tahun pembabitan dalam fesyen juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai juri beberapa program realiti antaranya, Indonesia's Got Talent dan Indonesia's Next Top Model (musim kedua dan ketiga).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 11:57 AM