YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. FOTO Bernama
YANG Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Perikatan Nasional (PN) untuk menulis surat kepadanya bagi menarik tulisan 'paparan' di skrin Dewan Rakyat mengenai status Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang bukan lagi daripada gabungan itu.

Ia selepas Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) membangkitkan persoalan mengenai paparan di skrin Dewan Rakyat bahawa Syed Abu Hussin yang masih lagi dari PN.

Johari berkata, sehingga kini, PN masih tidak menulis apa-apa kepadanya untuk menarik paparan di skrin Dewan Rakyat mengenai status Syed Abu Hussin melainkan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Ada bukti hitam putih yang PN sudah tulis (surat) kepada saya untuk tarik (tulisan Ahli Parlimen PN itu) keluar? Kena tulis. Saya tak tahu.

"Bersatu ada, tapi PN belum. Sebab rekod kita semua mengikut PN, bukan Bersatu atau Pas. Sila lakukan itu," katanya sewaktu pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu bermula apabila Syed Abu Hussin yang mahu mengemukakan soalan tambahannya, tiba-tiba dicelah oleh Ahmad Fadhli.

Ahmad Fadhli mempertikai tulisan paparan di skrin yang menulis Syed Abu Hussin adalah Ahli Parlimen PN.

Sebelum ini, keahlian enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah tergugur secara automatik.

Selain Syed Abu Hussin, lima yang lain adalah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:20 PM