MEK Yun. FOTO Amirudin Sahib
MEK Yun. FOTO Amirudin Sahib

Kuala Lumpur: Pempengaruh popular, Mek Yun berharap pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap pembuli susulan kematian seorang pempengaruh TikTok dikenali sebagai Esha baru-baru ini.

Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 27, berkata, kes buli siber semakin berleluasa di media sosial dan perlu diatasi dengan penggubalan undang-undang secara komprehensif.

"Perkara ini sangat serius sampai boleh meragut nyawa. Jadi, ia tidak boleh diambil ringan untuk tindakan yang dibuat.

"Kalau sampai meragut nyawa, saya harap pihak berkuasa dapat memperketatkan undang-undang supaya perkara seperti ini tidak berlaku lagi," katanya ketika ditemui di majlis sidang media Perang Nasi Dagang yang diadakan di Wisma Dewan Bahasa & Pustaka, di sini, semalam.

Menurut Mek Yun, sebagai pempengaruh dia juga tidak terkecuali menerima komen negatif daripada netizen walaupun kandungan yang dimuat naik di TikTok bersifat positif.

"Saya pernah rasa seperti ingin menyerah disebabkan komen negatif di media sosial. Walaupun satu atau dua komen tetapi sebenarnya ia memberi impak yang besar.

"Saya pernah dibuli berkaitan saiz badan saya yang besar sebelum ini. Saya akui pada waktu itu, berat badan saya 74 kilogram.

"Ada yang komen cakap saya gemuk, macam 'drumstick' (paha ayam). Banyaklah komen-komen yang buruk tetapi saya ambil sebagai pembakar semangat untuk menurunkan berat badan," katanya.

Dalam masa sama, Mek Yun mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan berfikir panjang sebelum meninggalkan komen yang negatif kepada sesiapa di media sosial.

"Kepada netizen, kata-kata andalah yang akan memberi impak sangat besar kepada pempengaruh media sosial ini.

"Fikir dulu sebelum anda meninggalkan sebarang komen kerana mungkin bagi anda apa yang dikatakan itu tidak mempunyai apa-apa maksud tetapi ia mungkin memberi kesan buruk kepada orang lain.

Semalam, seorang pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan kematian pempengaruh, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha, didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat, dua minggu lalu.

P Shalini, 35, dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Melayu, di hadapan Majistret, MS Arunjothy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:06 PM