Nurshafika Suhaimi

Menerima bayaran sebanyak RM50 apabila selesai tugasan pertamanya tidak mematahkan semangat pemilik studio photoprizms, Wasim Mansor untuk terus berkecimpung dalam bidang fotografi.

Wasim, 32, yang berpengalaman lebih lima tahun dalam dunia fotografi, mula mendapat pendedahan awal kepada dunia fotografi sejak zaman belajar.

Mengimbau kembali kenangan pada tahun 2012, Wasim memberanikan diri untuk menerima tawaran daripada rakannya untuk menjadi jurugambar majlis hari jadi.

"Pada ketika itu, saya masih lagi belajar di salah sebuah universiti di ibu kota dan apabila menerima tawaran itu saya agak ragu-ragu sebelum mengambil langkah pertama untuk menjadi seorang jurugambar, "katanya kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Wasim yang sebelum ini pernah mengikuti pengajian dalam bidang multimedia mengakui seni fotografi memberi kepuasan kepadanya terutama apabila melihat gambar diambil kelihatan hidup.

"Saya mempunyai minat mendalam dalam seni fotografi dan gajet sejak dari zaman sekolah kerana bagi saya setiap gambar ditangkap mempunyai kisah tersendiri," katanya.

Menurutnya, kamera yang pertama yang dibeli adalah pada tahun 2010 pada harga RM2,200.

Selain belajar di dalam kelas, Wasim turut menambah pengetahuan fotografi secara sendiri (di luar kelas) untuk membolehkannya menghalusi seni fotografi dalam setiap gambar yang diambil.

Permintaan yang semakin meningkat untuk jurugambar membuatkan Wasim tekad menjadikan minat ini sebagai salah satu kerjaya.

Katanya, dia mula serius dalam bidang fotografi selepas tamat pengajian dan menawarkan perkhidmatan fotografi pertama untuk majlis perkahwinan pada tahun 2017 dengan bayaran RM300.

"Walaupun jumlahnya mungkin sedikit bagi sesetengah jurugambar, tetapi ia cukup bermakna untuk saya yang masih baru menapak dalam bidang ini," katanya.

Image

Bermula secara solo, kini photoprizms mempunyai enam pasukan yang berdedikasi dalam mengendalikan acara penting.

Katanya, sejak ditubuhkan pada 2017, syarikatnya berjaya mengendalikan lebih 900 majlis perkahwinan dan korporat.

"Saya sangat terharu dengan kepercayaan pelanggan yang sudi menggunakan perkhidmatan kami dan memberikan maklum balas positif tanpa paksaan.

"Paling seronok apabila melihat gambar yang diambil dijadikan gambar muka hadapan di laman sosial media mereka," katanya.

Walaupun menghadapi persaingan yang ramai, photoprizms akan terus fokus untuk menambah lebih banyak peralatan berteknologi terbaharu untuk memenuhi permintaan yang semakin berkembang selain memberikan perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan.

"Rangkaian perniagaan juga boleh terdiri daripada pesaing sendiri, jadi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini, pastikan anda menjaga hubungan baik dengan pesaing dan mengambil peluang untuk bekerjasama dengan mereka," katanya

Beliau juga mengakui tidak pernah berkira jika mahu membeli peralatan fotografi dan kini mempunyai Canon R6 Mark, Lens RF 28-70mm f2, Lens Rf Viltrox 85mm f1.8, dan Lens Ttartisan 50mm tilt shift yang berharga lebih daripada RM26,000.

Ikuti akaun media sosial photoprizms diĀ Instagram.

Mahu memaparkan perniagaan anda di lebih 30 jenama? Media Prima memperkenalkan #MariLokal bagi membantu PKS meningkatkan perniagaan.

Layari laman web REV Media Group untuk mengetahui lebih lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 11:50 AM