Wong Hon Wai
Wong Hon Wai
BERNAMA

Georgetown: Georgetown telah dikenali seluruh rakyat Malaysia dan dunia sekian lama, justeru tiada sebarang isu berkaitan nama tempat dan keperluan untuk menukar nama ibu negeri Pulau Pinang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata nama Georgetown juga disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.

"Pengiktirafan antarabangsa itu menegaskan kedudukan Georgetown sebagai destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia yang menarik pengunjung dari seluruh dunia.

"Nama Georgetown dikenali sejak sekian lama dan tiada sebarang isu yang timbul berkenaan dengan nama tempat itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini bagi mengulas kenyataan PAS Pulau Pinang yang menggesa kerajaan negeri mengembalikan nama asal Georgetown, iaitu Tanjung Penaga yang menurutnya melambangkan 'identiti Malaysia'.

Wong menjelaskan nama Tanjong telah diangkat ke Dewan Rakyat dan dinamakan sebagai satu daripada kawasan Parlimen di Pulau Pinang.

Menurut portal rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum nama Pulau Pinang menjadi popular, penduduk di Seberang Perai lebih mengenali Pulau Pinang dengan nama Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis.

Dipercayai nama atau singkatannya Tanjong masih digunakan dalam geran-geran tanah yang dikeluarkan kerajaan hingga tahun 1800.

Portal itu memaklumkan sehingga kini nama Tanjong begitu serasi dengan penduduk Pulau Pinang dan Seberang Perai apabila merujuk kepada bandar Georgetown.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:03 PM