RIBUT yang melanda pagi ini di Perlis sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar menyebabkan beberapa pokok tumbang menimpa rumah dan kenderaan. FOTO ihsan APM
RIBUT yang melanda pagi ini di Perlis sekitar Kangar, Arau dan Padang Besar menyebabkan beberapa pokok tumbang menimpa rumah dan kenderaan. FOTO ihsan APM
Aizat Sharif

Kangar: Sebanyak 30 kes pokok tumbang di Perlis susulan ribut yang melanda negeri itu, kira-kira 8 pagi, hari i ni.

Berdasarkan maklumat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Perlis, sehingga 10 pagi tadi, mereka menerima 30 panggilan laporan pokok tumbang yang membabitkan halangan kepada laluan kenderaan selain menimpa rumah dan kereta.

Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, antara kawasan yang terjejas adalah di Beseri di Padang Besar, Arau, Kuala Perlis dan Bintong di Kangar.

"Bermula dari 8.23 pagi hingga 10 pagi tadi, kita sudah menggerakkan anggota kita di beberapa tempat seperti di Kampung Padang Malau di Beseri, Jalan Padang Nyu dan Kampung Behor Ganchor di Arau, Jalan Bintong di Kangar, Jalan Istana Raja Muda di Padang Besar, Jalan Seberang Ramai dan Jalan Kampung Wai di Kuala Perlis.

"Kita dapati kawasan ini terjejas akibat pokok tumbang selepas dilanda ribut awal pagi ini dan kerja memotong dan membersihkan kawasan masih terus dijalankan oleh kita," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, 24 anggota dan tiga pegawai APM dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis dikerah untuk melaksanakan kerja berkenaan.

Kejadian ribut bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:14 PM