KHAI Bahar. FOTO Asyraf Hamzah
KHAI Bahar. FOTO Asyraf Hamzah
Najiy Jefri

TIKET Gold Seats bagi menyaksikan konsert sulung penyanyi Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac depan habis dijual.

Khai ketika dihubungi berkata, dia tidak menjangka konsert paling mahal itu habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan semalam.

"Ketika dimaklumkan pihak penganjur tiket paling mahal untuk dua hari konsert habis dijual, saya sangat terkejut dan bersyukur.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peminat yang sudah membeli tiket. Perkara ini membuatkan saya berasa teruja dan lebih bersemangat untuk menghiburkan peminat nanti," katanya.

Menurut Khai, dia juga terharu apabila tiket paling mahal iaitu RM556 terlebih dahulu habis terjual berbanding tiket lain.

"Saya juga dimaklumkan oleh penganjur, peminat yang membeli tiket RM446 turut berpeluang bertemu dan bermesra dengan saya sebaik saja konsert tamat.

“Saya mendapat maklum balas baik yang mana mereka tidak sabar untuk bertemu dan menyaksikan konsert solo saya.

Sokongan berterusan yang diberikan adalah kepercayaan yang begitu besar buat saya,” katanya.

Konsert solo anjuran Ogy Ventures & Network Sdn Bhd itu bakal menyaksikan Khai menyanyikan 20 lagu dalam tempoh dua jam.

Tiket boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 3:17 PM