GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Seorang lelaki yang sedang 'high' bertindak di luar kawalan apabila merosakkan kenderaan milik seorang wanita menggunakan kayu golf dalam kejadian di Taman Dagang, di sini 6 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian kira-kira 3 petang itu berlaku ketika mangsa berada di dalam kereta Proton Preve bersama ibu kandung serta dua anaknya secara tiba-tiba didatangi lelaki warga tempatan dengan memegang sebatang kayu golf di tangannya.

"Suspek secara tiba-tiba terus memukul cermin hadapan kereta mangsa yang kemudian mengakibatkan retak dan pecah.

"Suspek ditangkap oleh sepasukan polis pada 5 petang 17 Mei lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, polis turut membuat rampasan di unit kediaman suspek di Kondominium Sri Ampang dan semakan lanjut mendapati tangkapan mempunyai sebanyak 17 rekod lampau pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dan dadah.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek disahkan positif dadah jenis methaphetamine dan morfin.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku adalah disebabkan suspek berada di bawah pengaruh dadah," katanya.

Katanya, suspek akan dituduh esok di Mahkamah Majistret Ampang mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 12:13 AM