MOHD Najib menunjukkan Ranting Hati yang meriah dengan nota-nota ditulis oleh jemaah. FOTO Hussain Jahit
MOHD Najib menunjukkan Ranting Hati yang meriah dengan nota-nota ditulis oleh jemaah. FOTO Hussain Jahit
Husain Jahit


Makkah: 'Ranting Hati' adalah medium bebas berbentuk terapi naratif bagi jemaah untuk meluahkan rasa hati melalui penulisan, kemudiannya digantung pada ranting sepohon kayu yang diletakkan di suatu sudut berhampiran Unit Kaunseling Tabung Haji.

Terletak berhampiran dengan pintu lif ke bilik-bilik jemaah untuk mudah dilihat dan mereka bebas membaca sambil mengisi masa terluang serta meluahkan ini hati melalui penulisan tanpa berjumpa dengan pegawai kaunseling.

Kaunselor Mohd Najib Harun berkata, kaedah ini pertama kali diperkenalkan bagi membolehkan jemaah berkongsi perasaan selain menyampaikan isi hati serta perasaan mereka sepanjang berada di Tanah Suci Makkah.

"Jika tahun lalu kita perkenalkan kaedah melukis, manakala tahun sebelumnya kita guna kaedah ziarah dan kali ini kita rasakan kaedah ini lebih efektif selepas melihat sambutannya amat menggalakkan walaupun baru seminggu dibuka.

"Ranting Hati adalah satu inisiatif terapi diri yang menggalakkan jemaah kita meluahkan isi hati.

"Selain itu, kita juga dapat mengumpul data berbanding mengisi borang maklum balas tetapi dalam versi yang lebih menarik," katanya kepada Petugas Media TH di Ibu Pejabat TH, di sini, kelmarin.

Mohd Najib berkata, daripada maklum balas inilah akan membantu Tabung Haji membuat penilaian dari masa ke semasa mengenai apa yang ada di dalam hati jemaah.

"Ini adalah medium bebas kerana kalau pihak kaunseling mahu berjumpa setiap jemaah, kami tidak mampu, malah ia juga selamat untuk jemaah kerana kita tidak tahu siapa yang menulis disebabkan tidak diletakkan nama dan identiti penulis," katanya.

Katanya, mekanisme seperti ini tidak menggunakan kaunselor, sebaliknya hanya membabitkan jemaah dengan jemaah yang lain.

"Penulisan ini juga boleh memberi kesan kepada jemaah lain kerana apabila luahan ini dibaca jemaah akan merasakan diri tidak keseorangan dan orang lain pun turut berdepan masalah sama. Persamaan ini secara tidak langsung merendahkan tahap tekanan mereka," katanya.

Mohd Najib berkata, setakat ini pihak kaunseling dapat melihat beberapa jenis luahan berdasarkan penulisan jemaah, termasuk rindukan keluarga.

Selain itu, ada juga luahan yang menceritakan mengenai daya tahan untuk menerima perubahan kehidupan di Tanah Suci.

"Ini kita boleh lihat daripada penulisan seperti 'mudah-mudahan hati terus cekal, kuat dan ya Allah berilah aku kekuatan'," katanya.

Dalam pada itu Mohd Najib berkata, terdapat pelbagai pengalaman sepanjang seminggu pohon Ranting Hati diwujudkan.

"Ada jemaah yang tidak mahu kita jumpa dia lama-lama dan ada yang tulis luahan secara sorok-sorok. Kita tahu kalau ia ditulis dengan cara sebegitu, penulisannya memang lahir dari dalam isi hati," katanya.

Mohd Najib berkata, setakat ini masalah paling berat ialah mengenai kesihatan kerana terdapat jemaah yang sihat di Malaysia tetapi sakit di sini menyebabkan mereka kecewa serta bimbang tidak dapat melakukan ibadat dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 12:08 AM