Penyanyi, Khai Bahar. Foto NSTP
Penyanyi, Khai Bahar. Foto NSTP
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Impian penyanyi Khai Bahar untuk membawa ibu bapa menonton konsert pertamanya yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur malam tadi tidak kesampaian disebabkan faktor kesihatan mereka yang tidak mengizinkan.

Khai bagaimanapun tetap berjaya mempamerkan persembahan yang penuh bertenaga dan hebat di depan lebih 900 peminat.

"Memang daripada tahun lepas ketika tawaran ini datang saya mengharapkan ibu bapa saya hadir menonton konsert solo saya ini.

"Tapi disebabkan tahap kesihatan mereka yang kurang baik, saya reda dan pegang kata-kata mereka supaya saya buat persembahan yang terbaik.

"Walaupun mereka tak dapat hadir, tapi mereka selalu mendoakan kejayaan saya. Kehadiran peminat yang hadir juga memberi semangat kepada saya, Alhamdulillah," katanya.

Menurut Khai, dia meluahkan rasa syukur apabila konsert solo berkenaan berjalan lancar walaupun kurang latihan selepas dimasukkan ke hospital akibat demam viral Isnin lalu.

"Rabu lepas baru dibenarkan pulang. Jadi proses latihan memang agak singkat, tapi Alhamdulillah kesihatan saya beransur baik dan dapat teruskan konsert ini.

"Pada awalnya memang agak cuak sebab tarikh konsert sudah semakin hampir, tapi saya tetap optimis dan teruskan latihan kerana peminat amat menantikan konsert solo saya ini.

"Sebaik saya dibenarkan pulang saya terus buat latihan di studio dan sempat juga belajar beberapa pergerakan tarian ketika di tahan wad," katanya.

Pada konsert berkenaan, Khai mempersembahkan lebih 17 lagu antara lagu popular nyanyiannya seperti #123, Luluh dan Bayang.

Selain itu, Khai turut mendendangkan lagu daripada penyanyi terkenal tanah air, Ziana Zain iaitu Madah Berhelah dan Kemelut Di Muara Kasih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 2:38 PM