ANWAR ditemani beberapa barisan pemimpin tertinggi Uzbekistan semasa melawat Kompleks Menara Kalondi di Tashkent.
ANWAR ditemani beberapa barisan pemimpin tertinggi Uzbekistan semasa melawat Kompleks Menara Kalondi di Tashkent.

KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) memperoleh RM2.4 bilion potensi eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia menerusi lawatan rasmi sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei 2024.

Potensi eksport itu adalah dalam sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E); minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit; barangan pengguna bergerak pantas (FMCG); penyelesaian tenaga dan perindustrian; makanan dan minuman (F&B); perabot; produk dan perkhidmatan halal; minyak dan gas; bahan binaan dan pembinaan; perkhidmatan profesional serta barang kemas.

Komitmen eksport berkenaan dibuat ketua industri dalam mesyuarat meja bulat berasingan dengan Perdana Menteri di Kazakhstan dan Uzbekistan.

Hasil yang menggalakkan itu menandakan pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara Asia Tengah itu.

Menteri Miti, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menjadi sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri itu berkata, pihaknya berbesar hati telah mencapai RM2.4 bilion potensi eksport terkumpul daripada perniagaan di Kazakhstan dan Uzbekistan.

Beliau berkata, angka penting itu disahkan melalui mesyuarat meja bulat di kedua-dua negara mencerminkan kepercayaan komuniti perniagaan masing-masing yang semakin meningkat di Malaysia sebagai rakan kongsi strategik dalam perdagangan dan pelaburan.

Katanya, Miti akan memastikan komitmen eksport itu direalisasikan secepat mungkin untuk menyokong pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

"Terdapat banyak peluang untuk syarikat Malaysia di rantau Asia Tengah. Melalui kehadiran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Almaty dan Tashkent, kami akan mengembangkan peluang perniagaan untuk syarikat Malaysia dan Miti akan memastikan ini akan diterjemahkan kepada peluang komersial untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dan pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Di Astana, Kazakhstan, Anwar dan Perdana Menteri Kazakhstan, Olzhas Bektenov bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat antara 26 pemimpin perniagaan terkemuka daripada 12 syarikat Kazakhstan yang juga antara entiti swasta terbesar negara dan wakil daripada beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia dan 14 syarikat Malaysia.

Syarikat Kazakhstan mewakili industri seperti perlombongan, minyak dan gas, tenaga, pembinaan, FMCG dan pelancongan.

Di Samarkand, Uzbekistan, Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Uzbekistan, Jamshid Khodjaev bersama-sama mempengerusikan Forum Perniagaan Peringkat Tinggi untuk lebih 200 wakil daripada syarikat Uzbekistan terkemuka, beberapa GLC Malaysia dan syarikat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:05 AM