NORAIZAT (kiri) melakukan libasan ketika menentang Brunei, malam ini. FOTO BERNAMA
NORAIZAT (kiri) melakukan libasan ketika menentang Brunei, malam ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Gandingan double negara menepati ramalan mencatat kemenangan bersih di Kumpulan A, sekali gus mara ke suku akhir untuk bertemu Korea Selatan, esok pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Gandingan Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Zawawi itu tidak berdepan masalah menewaskan Brunei 15-9, 15-11 dalam perlawanan yang berlangsung selama 40 minit di Stadium Titiwangsa.

Menurut Noraizat, perlawanan menjadi terlalu lama dek kerana mereka terikut-ikut rentak pasukan lawan selain dia dan Aidil mencuba mendapatkan beberapa teknik servis.

Tambahnya, untuk perlawanan suku akhir esok, dia memberi jaminan mereka akan memberikan aksi yang lebih baik berbanding malam ini dan tidak akan melakukan banyak kesilapan mudah.

"Kami terikut gaya permainan lawan dan masih mencari teknik sesuai boleh digunakan seperti mendapatkan teknik servis yang lebih baik di dalam perlawanan.

"Sebab untuk dapat ace melalui servis memang tidak boleh bagi acara double dan sebab itu, servis yang dilakukan itu tidak boleh sangkut.

"Untuk menentang Korea Selatan, mereka sebuah pasukan yang baik terutama dari segi semangat juang tinggi.

"Kami perlu tampil lebih baik dan lebih bersemangat agar memperoleh kemenangan untuk ke pusingan seterusnya.

"Kami perlu meningkatkan teknik bertahan dan tidak boleh melakukan banyak kesilapan dalam perlawanan terutama ketika melakukan servis," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata, gandingan double negara belum menampilkan aksi terbaik mereka dan perkara itu perlu segera dibaiki ketika bertemu Korea Selatan.

"Saya akui mereka belum memberikan persembahan terbaik dan saya harap mereka cepat bangkit untuk perlawanan esok kerana Korea Selatan sangat bagus dari segi semangat juang mereka.

"Mungkin di peringkat kumpulan pemain berada agak selesa, jadi di peringkat suku akhir esok, kita tiada pilihan dan perlu menang untuk layak ke separuh akhir dan seterusnya," katanya.

Pada peringkat suku akhir esok, skuad double negara akan bertemu Korea Selatan pada 10.30 pagi dan sekiranya menang, dijangka bertemu Myanmar di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 11:21 PM