KHAI bakal tampil dengan sebuah lagu duet penghujung tahun ini.
KHAI bakal tampil dengan sebuah lagu duet penghujung tahun ini.
Najiy Jefri

KEJAYAAN penyanyi Khai Bahar yang memenangi trofi Artis Kolaborasi/Duo Berkumpulan Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33 bersama Siti Nordiana baru-baru ini membuktikan dirinya terus ampuh dalam bidang seni suara.

Malah, gandingan dengan Siti Nordiana sememangnya cukup serasi dan membawa tuah kepada kedua-dua bintang yang disayangi ramai peminat ini.

Khai berkata, dia tsidak menyangka gara-gara duetnya bersama Siti Nordiana di aplikasi Smule menerusi lagu Memori Berkasih terus diingati peminat sampai hari ini sehingga mereka menjadi pasangan duo yang cukup kuat.

"Tak sangka daripada duet di Smule, kini saya ada single duet bersama Nana berjudul Satukan Rasa. Namun, buat masa ini kami tidak mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu duet yang terbaharu," katanya.

Menurut Khai, dia sebenarnya bakal tampil dengan sebuah lagu duet penghujung tahun ini tetapi memilih untuk merahsiakan siapakah rakan duetnya itu.

"Nanti saya kongsikan gerangan penyanyi duet saya itu. Nak beri kejutan kepada peminat dan biarkan mereka berteka-teki," katanya.

Siapa sangka, penyanyi muda berbakat besar ini terpaksa menerima hakikat apabila gagal mempertahankan trofi Penyanyi Lelaki Popular yang jatuh ke tangan Haqiem Rusli tahun ini, namun penyanyi yang popular dengan lagu Luluh itu tetap berpuas hati dan berterima kasih kepada peminat yang bersungguh-sungguh mengundi serta menyokong dirinya.

"Peminat menjadi penyumbang utama kejayaan saya. Saya amat berterima kasih bukan saja kepada kelab peminat saya, Khai Bahar Empire tetapi juga kelab Siti Nordiana FC kerana bertungkus-lumus mengundi kami berdua.

"Sebenarnya saya berasa agak mustahil apabila masih ada lagi rezeki buat saya pada peminat. Sejujurnya, bukan mudah untuk bertahan selama empat tahun di dalam industri muzik dan saya berterima kasih kepada peminat kerana menyayangi saya sehingga kini," katanya.

Ditanya mengenai status Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia yang ditangguhkan pada Mac lalu akibat penularan Covid-19, Khai berkata, setakat ini dia masih lagi menantikan keputusan daripada penganjur.

Katanya, selagi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan, selagi itu hasratnya untuk mengadakan konsert tidak terlaksana.

Namun, Khai yang sudah empat tahun berada dalam bidang nyanyian ingin memperbaiki mutu nyanyiannya lagi.

Khai berkata, dia tidak mahu hanya dikenali sebagai penyanyi popular sebaliknya memasang impian untuk menjadi yang terbaik pula selepas memenangi puluhan anugerah hasil undian peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:30 AM