RAFIZI. - Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
RAFIZI. - Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

KERAJAAN bercadang untuk menggandakan bilangan syarikat Bumiputera yang berdaya tahan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada masa hadapan melalui penjajaran semula agensi yang diberi mandat bumiputera iaitu Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, selain itu, kerajaan melalui kementerian juga berharap penjajaran semula ketiga-tiga agensi itu akan menstruktur semula ekonomi syarikat Bumiputera.

Tiga agensi diberi mandat bumiputera di bawah seliaan Kementerian Ekonomi diselaraskan semula selaras dengan matlamat Kerajaan Madani memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi Bumiputera secara strategik, mampan dan berkesan.

"Ini (penjajaran semula) adalah salah satu langkah kerajaan menambah lebih banyak syarikat berkualiti dan berdaya tahan sehingga ke peringkat penyenaraian," katanya selepas menghadiri majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di sini, semalam.

Pada Mac tahun ini, Pengerusi Bursa Malaysia Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar dilaporkan berkata daripada 97 syarikat tersenarai dalam tempoh tiga tahun lepas, hanya satu syarikat Bumiputera.

Rafizi berkata, masalah sering dihadapi syarikat bumiputera adalah dari segi penstrukturan dan menegaskan mereka sebenarnya memerlukan ekosistem.

Kerajaan, menurutnya, sudah mempunyai saluran di mana ia membantu dari awal untuk memastikan bakat yang berpotensi dapat berkongsi fikiran mereka.

"Anda bermula dari awal, kemudian syarikat mempunyai ekosistem di Teraju dan sebelum mereka pergi untuk penyenaraian, mereka mempunyai satu langkah lagi untuk Ekuinas.

"Jadi jika kita salurkan cara ini dengan memfokuskan kepada syarikat yang berdaya tahan, kita boleh menggandakan jumlah syarikat Bumiputera yang berdaya tahan untuk disenaraikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2024 @ 6:10 AM