29 Mei diisytihar sebagai Hari Wartawan Nasional.
29 Mei diisytihar sebagai Hari Wartawan Nasional.
BERNAMA

Kuching: Pameran peralatan media lama dan sejarah media di Sarawak adalah antara tarikan pada pameran di Atrium Utama Plaza Merdeka Shopping Centre, yang bermula pada 25 hingga 27 Mei ini yang diadakan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 20 reruai pameran akan mewarnai sambutan Hawana 2024, yang akan dibuka bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang.

"Antara bahan yang akan dipamerkan ialah peralatan media lama yang popular pada zamannya seperti kamera lama, radio lama, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak," menurut kenyataan itu.

UKAS dalam kenyataan itu memaklumkan pelbagai program akan berlangsung seperti temu bual di konti dan acara pentas, selain para pengunjung berpeluang merasai sendiri pengalaman membaca berita secara profesional di reruai pameran UKAS.

"Orang ramai khasnya para penuntut pengajian komunikasi dijemput melawat reruai pameran yang disediakan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan terdapat 17 agensi yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut akan mempamerkan perkhidmatan masing-masing, selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

Agensi yang terlibat ialah UKAS, TVS, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (Japen) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sarawak Tourism Board (STB) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

Turut mengambil bahagian dalam pameran itu ialah CATSfm, Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua, Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, Utusan Sarawak, Kupi-Kupi fm, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan UDA Holdings.

Pameran Hawana 2024, akan dirasmikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada 25 Mei.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan Majlis Kemuncak Hawana 2024 pada 27 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 11:06 PM