Khai bahar cabar diri buat persembahan berskala besar.
Khai bahar cabar diri buat persembahan berskala besar.
Syafil Syazwan Jefri


SIAPA sangka, permulaan karier daripada suka-suka, kini mula membuahkan hasil yang tidak diduga hebatnya. Melangkah awal dalam industri hiburan selaku bakat yang dicungkil menerusi aplikasi Smule, kini nama Khai Bahar semakin bertapak kukuh sebagai anak seni.

Malah, menjadi impian setiap penyanyi untuk mendapat peluang mengadakan konsert berskala besar. Begitu juga dengan anak kelahiran Perlis ini yang berasakan impiannya bakal menjadi kenyataan.

Mendapat khidmat tunjuk ajar daripada seniwati, Fauziah Ahmad Daud yang bertindak sebagai penganjur Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia, Khai menganggap ia satu rezeki besar buatnya.

“Saya sedar kerjaya seni diceburi masih baharu dan singkat jika dibandingkan dengan selebriti lain. Namun, peluang yang diberikan Kak Ogy dan Istana Budaya (IB) tak mampu saya tolak.

Khai bahar popular dengan lagu Bayang, Luluh dan #123.
Khai bahar popular dengan lagu Bayang, Luluh dan #123.

“IB yang pentasnya berprestij akan menjadi lokasi konsert saya dan jujur diakui ini adalah satu peluang dan rezeki besar buat saya,” katanya.

Membuka sesi bicara, Khai yang terharu tidak henti-henti meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Fauziah yang mesra disapa Kak Ogy.

“Tiada apa yang mampu saya luahkan selain perasaan syukur teramat sangat kerana dapat bekerjasama dengan Kak Ogy. Bila dia (Ogy) meluahkan hasrat untuk menganjurkan konsert buat saya, sukar untuk ditolak kerana bukan mudah nak dapatkan peluang.

“Di tahun keempat saya berada dalam industri pada 2020 ini, peluang tak diduga datang. Saya nak keluar dari kebiasaan iaitu zon selesa dan cabar diri untuk buat persembahan berskala besar di hadapan ramai penonton,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan dan kematangannya dalam berkarya, Khai mengakui sentiasa dahagakan ilmu baharu dan sedia mencuba perkara baharu.

“Ini adalah konsert sulung saya dan tentunya akan cuba hilangkan tekanan serta perasaan gemuruh kerana tidak mahu menghampakan sesiapa terutama peminat. Justeru, saya akan melakukan persiapan secukupnya termasuk giat berlatih supaya semuanya berjalan lancar.

“Harapan saya adalah, apabila selesai dengan konsert nanti, saya akan dapat ilmu baharu dan kematangan dalam membuat persembahan,” katanya.

Sebagai persediaan untuknya, Khai akan dibantu pengarah seni, Pet Ibrahim dan Adeep Nahar selaku jurulatih vokal.

“Dalam tempoh terdekat ini, saya akan fokus kepada sesi latihan kerana banyak yang saya nak kena belajar daripada Pet dan Adeep untuk memantapkan lagi persembahan,” katanya.

Sementara itu, Ogy mengakui Khai antara bakat muda yang memiliki potensi dan persona tersendiri serta mampu diangkat ke peringkat antarabangsa.

“Dia adalah anak seni generasi baharu yang berkualiti pada pandangan saya. Bakat seni dimilikinya adalah satu kurniaan Tuhan yang luar biasa,” katanya.

Menurut Ogy, dengan pendedahan dan didikan yang betul, Khai mampu mengorak langkah serta menjadi penghibur bertaraf antarabangsa apabila tiba masanya.

Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan di Panggung Sari, IB, Kuala Lumpur dan tiket persembahan sudah mula dijual.

Kerjasama dengan In-Team

Biarpun jadual padat dengan pelbagai aktiviti seni terutama persembahan nyanyian, Khai juga akan tampil dengan lagu solo baharu dan secara duet.

Penyanyi popular dengan lagu Bayang, Luluh dan #123 ini akan melancarkan lagu terbaharunya berjudul Hati Nyawa tidak lama lagi dan berkolaborasi dengan kumpulan nasyid, In-Team.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan keluarkan lagu baharu iaitu Hati Nyawa dan menjelang Ramadan pula, saya berkolaborasi dengan kumpulan In-Team untuk menyanyikan semula lagu Setanggi Syurga.

“Selain itu, untuk tawaran berlakon pula, belum ada lagi buat masa sekarang kerana saya akan fokus pada latihan untuk konsert nanti,” katanya.

Tidak hanya memberi tumpuan pada kerjaya hiburan, Khai juga akan terbang ke Syria untuk mengikuti misi penghantaran bantuan kemanusiaan.

“Ini kali ketiga saya bersama Syria Care bekerjasama untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada golongan Islam di Syria. Kali ini, pengalamannya saya akan ke Syria.

“Memang saya gementar juga kerana tahu situasi sebenar di sana. Tetapi, saya dimaklumkan bahawa kami akan masuk ke kawasan perkampungan yang kawasannya selamat,” katanya.

Khai berkata, pembabitannya untuk menyertai misi kemanusiaan kerana minat termasuk mahu menimba pengalaman. Apa pun, katanya doakan yang terbaik

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 7:30 AM