NASRULLAH (jersi no 17) dan pemain NSFC bertungkus-lumus mempertahankan kubu pasukan ketika tewas 1-3 di tangan JDT, Sabtu lalu. FOTO FB NSFC
NASRULLAH (jersi no 17) dan pemain NSFC bertungkus-lumus mempertahankan kubu pasukan ketika tewas 1-3 di tangan JDT, Sabtu lalu. FOTO FB NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun bermula dengan langkah kiri selepas tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT), Sabtu lalu, pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) yakin mereka memiliki kekuatan untuk bersaing dengan lebih baik pada saingan Liga Super musim ini.

Kapten NSFC, Nasrullah Hanif Johan mengakui walaupun gagal meraih mata pada aksi di Stadium Sultan Ismail itu, dia dan rakan sepasukan mengimbangi kekuatan skuad Harimau Selatan yang diketahui sebuah pasukan lengkap dan memiliki kekuatan mantap di semua bahagian.

Katanya, pemain berjaya memainkan peranan dan melaksanakan tugas dengan baik berpandukan strategi dirancang ketua jurulatih Azzmi Ab Aziz.

"Walaupun tewas, tapi kami berjaya mengimbangi kekuatan dan kehebatan JDT dengan baik.

"Kekalahan 1-3 kepada pasukan yang diketahui hebat itu memberi petanda kami mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan lebih baik dalam Liga Super musim ini jika terus berusaha memantapkan persembahan.

"Kami akan berusaha melakukan lebih baik untuk meningkatkan lagi persembahan dan memberikan tentangan lebih padu pada perlawanan berikutnya menentang Selangor FC, Ahad depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 11:10 PM