Sudirman Mohd Tahir

LAGU bertemakan cinta cukup sinonim dengan penyanyi terkenal Khai Bahar.

Sejak awal kemunculannya, kebanyakan lagu yang dilancarkan mengetengahkan mesej cinta bukan saja buat pasangan kekasih, tetapi juga secara menyeluruh.

Tidak dinafikan, lagu cinta itu juga berjaya membawa nama Khai, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin ke puncak kejayaan. Malah, kelunakan suara serta kualiti vokal dimiliki Khai tatkala menyanyikan lagu cinta membuatkan dia dipuja peminat.

Menariknya juga, kebanyakan lagu itu mencatat kejayaan tersendiri apabila tercalon dan menang dalam anugerah serta melangkah ke acara berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).

Selepas lagu Bayang, Luluh dan terbaharu Nafas Cinta melangkah ke AJL 36 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, Khai melancarkan pula single berjudul, Damba.

Lagu bergenre balada ciptaan sepenuhnya Iqie Hugh dan Omar K itu adalah terbitan syarikat rakaman Seventeen Eleven Music yang dilancarkan pada 7 Januari lalu.

KHAI akui sukakan genre balada.
KHAI akui sukakan genre balada.

"Saya memang suka menyanyikan lagu rentak balada. Malah, sejak awal kemunculan, genre inilah yang memperkenalkan saya dalam industri muzik tanah air. Saya percaya lagu berentak sebegini memiliki kelompok peminat tersendiri. Apatah lagi jika lagu itu bertemakan cinta. Memang ramai yang suka.

"Kalau ikutkan cita rasa peminat muzik tempatan pun, lagu cinta masih menjadi pilihan. Disebabkan itu, saya percaya genre balada dan lagu bertemakan cinta ini tidak akan pudar. Jadi, single Damba ini pun masih membawakan mesej dan tema cinta.

"Cuma, sebagai penyanyi dan komposer, kita perlu sentiasa kreatif. Saya akan pelbagaikan mesej cinta itu. Ada lagu yang saya hasilkan bertemakan cinta, tapi bukan untuk pasangan kekasih semata-mata. Saya membawa tema cinta itu secara subjektif dan menyeluruh," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Damba, Khai mengakui bertuah kerana lagu itu turut dipilih menjadi antara lagu tema drama Shakira di slot Akasia, TV3 yang Khai turut berlakon dalam drama itu.

"Alhamdulillah, sekali lagi lagu nyanyian saya menjadi lagu tema drama bersiri. Kali ini dalam drama Shakira yang ditayangkan menerusi slot Akasia. Bagi saya, ini platform terbaik dalam membantu memperkenalkan lagi lagu ini pada pencinta muzik tanah air.

"Kita tahu pengikut drama di slot Akasia ini ramai. Apabila mereka menonton sekali gus dapat mendengar lagu Damba ini. Kiranya, dapat juga mengumpul peminat baharu yang mungkin selama ini masih tidak mengenali siapa saya.

"Terima kasih pada pihak penerbit kerana memberi peluang lagu ini dimuatkan sebagai lagu tema drama Shakira. Tidak dilupakan, terima kasih juga kepada semua peminat yang sudah mendengar dan memberikan maklum balas. Saya hargai setiap komen, pendapat dan kritikan yang diberikan," katanya.

Secara ringkas, lagu Damba menceritakan mengenai seorang lelaki yang kagum dengan wanita yang dia sayang dan cinta sehinggalah ingin memilikinya.

Dalam perkembangan lain, Khai kini sedang rancak mempersiapkan diri menjelang Konsert Nafas Cinta Khai Bahar yang bakal berlangsung pada 12 Februari ini di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ Pac), pusat beli- belah 1 Utama, Bandar Utama,

Walaupun tiket konsert secara fizikal atau bersemuka sudah habis terjual, tiket untuk tontonan secara dalam talian atau virtual masih dibuka dan boleh dibeli di www.cloudtheatre.com

Menurut Khai, pada malam konsert itu nanti dia bakal menyanyikan hampir 17 lagu membabitkan persembahan solo dan duet dengan penyanyi jemputan Aina Abdul serta Adira Suhaimi.

"Buat masa sekarang, saya dan pasukan sedang giat membuat latihan untuk konsert tersebut. Konsep, gubahan muzik serta senarai pilihan lagu yang bakal dipersembahkan dalam konsert telah pun dimuktamadkan. Insya-Allah, saya akan persembahkan maksimum dalam 17 lagu.

"Saya mohon doa daripada anda semua semoga semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya tidak sabar untuk membuat persembahan di hadapan semua peminat. Saya akan berikan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 6:30 AM