DARI kiri Noorhidayah, Shazreen dan  Erinshahira. FOTO Eizairi Shamsudin
DARI kiri Noorhidayah, Shazreen dan Erinshahira. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


SEDAR kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan kecekalan mendorong bakat muda bidang nyanyian, Siti Nur Shazreen Shaharum atau Shazreen gigih meneruskan perjuangannya.

Bukti pada kesungguhan itu akhirnya terbalas dan membuahkan hasil dengan kemenangan sebagai juara Kemuncak Bintang Klasik 2019, Ahad lalu.

Shazreen, 23, yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai pertandingan Bintang Klasik itu sebanyak tiga kali sebelum dipilih sebagai pemenang.

“Pada 2016, saya masih menyertai pertandingan Bintang Klasik anjuran Radio Klasik RTM ini, tetapi tidak berjaya kerana belum ada rezeki.

“Namun, saya tidak pernah kecewa dan patah semangat untuk terus mencuba. Apatah lagi, saya meminati bidang nyanyian terutama pada lagu Melayu asli dan klasik,” katanya.

Shazreen berkata, selain mendapat sokongan padu keluarga, dia turut menjadikan kejayaan kakak, Shaidatul Nadira yang merangkul trofi Bintang Klasik 2010 sebagai penguat semangat.

GANDINGAN pengacara Awal dan Amelin. FOTO Eizairi Shamsudin
GANDINGAN pengacara Awal dan Amelin. FOTO Eizairi Shamsudin

“Kakak adalah idola dan saya ingin berjaya sepertinya. Jika kakak boleh membuktikan dia mampu menang, kenapa tidak dengan saya?

“Kakak juga menjadi guru vokal saya. Malah, kejayaan ini adalah bukti saya sudah mengulangi pencapaian kakak, sekali gus membanggakan ibu bapa kami,” katanya.

Menurut Shazreen yang berasal dari Melaka, pendedahan awalnya pada bidang nyanyian sudah dipupuk ibu bapa ketika kanak-kanak.

Katanya, pada usia empat tahun, dia sudah menyertai pertandingan nyanyian.

Pada acara kemuncak Bintang Klasik 2019 itu, Shazreen mendendangkan lagu solo berjudul Balqis nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan lagu Hapuslah Air Matamu (Broery Marantika) untuk segmen ‘battle’.

Menerusi kemenangannya, Shazreen menerima hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi termasuk turut dipilih pemenang Persembahan Terbaik yang melayakkan dia meraih RM5,000 berserta trofi.

Hadiah disampaikan Ketua Pengarah Penyiaran, Abdul Muis Shefii diiringi Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Noryahati Awang dan Pengarah Berita Ehwal Semasa, Che Rohana Che Omar di Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

DAYAH (kiri) bersama Azreen membuat persembahan. FOTO Eizairi Shamsudin
DAYAH (kiri) bersama Azreen membuat persembahan. FOTO Eizairi Shamsudin

Sementara itu, naib juara disandang guru sambilan, Noorhidayah Halim, 28, dari Perak yang menerima hadiah wang tunai RM20,000 dan trofi.

Tempat ketiga pula menjadi milik peserta paling muda dari Melaka iaitu Siti Erinshahira Jamaludin, 16, yang membawa pulang RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, lima finalis lain yang tewas dan mendapat hadiah sagu hati berupa wang tunai RM2,000 setiap seorang ialah Ahmad Marzuki Nordin, 18, Siti Nadia Zaini, 26, Nur Hijrah Yahya, 28, Ahmady Mohd Spuan, 29, dan Nabilah Mohammad, 30.

Acara kemuncak itu menggandingkan Awal Ashaari dan Amelin Idrus sebagai pengacara, manakala persembahan diserikan dengan nyanyian daripada Siti Nordiana, Syafiq Farhain, Naim Daniel, Rahimah Rahim dan Azharina Azhar.

Tidak ketinggalan, bekas juara Bintang Klasik atau Bintang Nasional antaranya Alif Kadim, Anas Farhan dan Rizal Ahmad juga muncul menghiburkan penonton dengan seleksi lagu malar segar.

Disiarkan secara langsung di TV1, pemenang ditentukan daripada 100 peratus markah juri profesional diketuai Pengarah Muzik Orkestra RTM, Datuk Mokhzani Ismail, selain penyanyi Datuk Yusni Hamid, Datuk Syafinaz Selamat, Fauziah Latiff dan Juliza Adlizan.

BARISAN juri Kemuncak Bintang Klasik 2019. FOTO Eizairi Shamsudin
BARISAN juri Kemuncak Bintang Klasik 2019. FOTO Eizairi Shamsudin

Kagum pada golongan muda

Walaupun pertandingan Bintang Klasik bertujuan mengetengahkan bakat baru dalam kalangan generasi muda menyanyikan lagu Melayu asli dan klasik, sambutan diterima sangat menggalakkan.

Diam tak diam, sudah edisi kelapan penganjuran pertandingan Bintang Klasik diadakan RTM yang membabitkan penyertaan peserta berusia 16 hingga 30 tahun.

Mokhzani yang juga Pengarah Muzik Orkestra RTM berkata, sambutan diterima daripada peserta sentiasa meningkat dan dilihat positif.

“Walaupun pertandingan Bintang Klasik ini memberi cabaran kepada peserta menyanyikan lagu Melayu asli, klasik dan malar segar, tetapi masih ada golongan peminatnya.

“Saya kagum melihat kesungguhan anak muda masa kini yang meminati lagu Melayu asli dan klasik. Bahkan paduan vokal mereka ketika menyanyi pun sangat bagus.

“Secara tidak langsung, biarpun pasaran muzik sekarang banyak berubah, tetapi minat golongan muda berbakat terhadap lagu Melayu asli dan klasik tidak terbatas. Saya bangga,” katanya.

Menurut Mokhzani, apa yang pasti objektif murni dilakukan RTM dalam usaha memartabatkan lagu Melayu asli dan klasik terus diterima baik pendengar nampaknya berjaya seperti diinginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 5:20 AM