ROSARIO di pertandingan nyanyian Asean Song Contest 2019 yang berlangsung di Vietnam.
ROSARIO di pertandingan nyanyian Asean Song Contest 2019 yang berlangsung di Vietnam.
Georgie Joseph


PENYANYI Rosario bangga dapat mengharumkan nama Malaysia apabila dinobatkan juara pertandingan nyanyian Asean Song Contest 2019 yang berlangsung di Vietnam semalam.

Rosario atau nama penuhnya Rosario Ninih Chamini Bianis, 25, mengakui sangat terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat yang tidak putus daripada penyokongnya.

“Puji Tuhan. Kemenangan saya di pertandingan Asean Song Contest 2019 di Vietnam semalam adalah hasil kerjasama dan sumbangan beberapa pihak yang percaya akan bakat saya.

“Dengan ini saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Radio TV Malaysia (RTM) kerana percaya dengan bakat saya dan Ernie Zakri untuk mewakili Malaysia di pertandingan yang sangat berprestij.

“Sesungguhnya kami sudah buat yang terbaik untuk membuktikan bahawa bakat-bakat yang ada di Malaysia tidak kurang hebatnya. Kenangan sepanjang bertanding di sana adalah memori terindah,” katanya.

Rosario yang juga bekas juara Bintang RTM 2016 mendedikasikan kemenangan itu buat keluarga serta peminat yang tidak pernah jemu menyokong kariernya.

ROSARIO.
ROSARIO.

“Kepada seluruh peminat, sahabat dan keluarga, saya sangat terharu dengan sokongan padu kalian. Doa dan sokongan kalian amat saya hargai.

“Hadiah kemenangan semalam adalah untuk kalian yang tidak jemu menyokong saya dari awal sehingga kemuncak pertandingan. Saya berharap agar kalian terus menyokong kerjaya seni saya,” katanya.

Rosario yang berasal dari Tambunan, Sabah berjaya memukau juri serta penonton dengan kelantangan vokalnya menyanyikan lagu Run nyanyian asal Leona Lewis pada peringkat akhir itu.

Seramai 25 penyanyi dari Filipina, Indonesia, Korea, Vietnam, Myanmar, Malaysia, Jepun, Brunei, Kemboja, Thailand, Singapura, China, dan Laos bertanding dalam acara berkenaan.

Selain Rosario, Ernie Zakri turut mewakili Malaysia namun penyanyi Ku Bersuara itu terkandas di pusingan penentuan ke peringkat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Julai 2019 @ 1:54 PM