HARIZ bersama Heidi (kanan) dan Hafiz (kiri).
HARIZ bersama Heidi (kanan) dan Hafiz (kiri).
PENGHAYATAN tersendiri Hariz menerusi lagu Yang Terbaik membantu kemenangannya sebagai juara Bintang RTM 2018.
PENGHAYATAN tersendiri Hariz menerusi lagu Yang Terbaik membantu kemenangannya sebagai juara Bintang RTM 2018.
Ridzuan Abdul Rahman

Tidak dinafikan RTM sering melahirkan bintang yang berbakat besar seperti dibuktikan sebelum ini. Terbaru, sebutir lagi bintang dilahirkan menerusi program pertandingan nyanyian paling lama wujud di Malaysia iaitu Bintang RTM.

Selamat datang ke industri hiburan buat Hariz yang sebulat suara dipilih oleh juri untuk bergelar juara Bintang RTM 2018 pada pentas final yang berlangsung Sabtu lalu.

Hariz atau nama sebenarnya Fadhli Hariz Fayahet, 24, memukau barisan juri yang diterajui Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Adibah Noor bagi memberikan kemenangan mutlak kepadanya.

Selain membawa pulang wang tunai RM20,000 dan trofi, dia juga dihadiahkan single ciptaan Manusia Putih berjudul Yang Terbaik. Hariz juga mengungguli kategori Vokal Terbaik dan menerima wang tunai berjumlah RM5,000.

Hariz yang berasal dari Bangi, Selangor menyifatkan kemenangan ini sebagai satu memori indah dalam hidupnya dan akan terus bergiat aktif dalam bidang seni suara.

“Syukur kerana kemenangan berpihak kepada saya. Tak dinafikan persaingan kali ini sangat sengit. Pertandingan ini membabitkan tiga pusingan dan paling mencabar nyanyian solo kerana kami perlu menyampaikan lagu baru.

“Kemenangan ini juga tak menjadikan saya alpa kerana akan terus mengekalkan prestasi dalam nyanyian. Kalau boleh, saya nak dikenali sebagai penyanyi yang hebat dalam kawalan vokal. Single pun sudah ada dan saya pasti takkan mempersia-siakannya,” katanya.

Membandingkan Hariz dengan lima peserta lain, dia kelihatan unik dengan gaya bertopi. Akuinya, ini memang identiti yang sengaja diciptanya kerana menjadikan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sebagai idola.

“Imej ini sudah wujud sejak saya menyanyi di majlis orang kahwin lagi. Saya masih belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Sarjana Pengurusan Seni Persembahan dan kini bercuti selama tiga bulan kerana menyertai pertandingan ini.

“Saya berjanji kepada keluarga untuk kembali sambung belajar dan menyiapkan tesis selepas ini dan pada masa sama akan terus menyanyi. Rasanya apa yang saya peroleh dalam pertandingan ini sangat berbaloi.

“Saya meminati genre muzik balada dan R&B. Saya sebenarnya seorang yang pemalu. Apabila menyertai Bintang RTM barulah saya belajar banyak perkara kerana ia lebih kepada praktikal berbanding di UKM yang lebih kepada teori,” katanya.

Hariz yang pernah menyertai pertandingan Dendang Rakyat di RTM pada 2015 mahu menjalin kerjasama dengan beberapa nama terkenal seperti Gouffran dan Ibnu yang menghasilkan lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem Rusli.

Dalam pusingan mash up, Hariz menyampaikan lagu Fantasy vs Polaroid nyanyian Mel Sakura Band.

Tempat kedua dimenangi Heidi Vanessa Moruning, 24, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, lagu baru ciptaan AG Coco dan sijil berserta trofi.

Muhammad Hafiz Zainal, 26, pula menduduki tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM10,000, lagu baru ciptaan Hang Nadim dan sijil berserta trofi.

Dia turut dipilih sebagai pemenang Persembahan Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan trofi.

Tiga lagi peserta iaitu Ferona Paimin, 22, Muhammad Yasser Sharifudin, 22, dan Nur Jannah Abu Hanipah, 20, terpaksa berpuas hati dengan membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai RM1,000, lagu baru ciptaan komposer tempatan dan sijil beserta trofi.

Program Bintang RTM 2018 dikendalikan oleh Aqasha dan Misha Omar yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras turut diserikan dengan persembahan istimewa Datuk Awie, Ella dan Sufian Suhaimi.

Manakala Is (Projektor Band), Arul (Sevendays), Ameer (Sofazr), Mel (Sakura Band), Neeta (IamNeeta) dan Aepul (Drama Band) ditampilkan sebagai artis undangan yang berduet bersama peserta akhir.

Sementara itu, penerbit Bintang RTM 2018, Sarena Mohd Salleh mengakui berpuas hati dengan keputusan malam itu.

“Perbezaan markah di antara kesemua peserta amat tipis dan memang rezeki Hariz untuk muncul juara edisi kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 5:28 AM