AMIR dan Sweet kini dalam proses mengenali hati budi masing-masing. FOTO Instagram Amir Hasan
AMIR dan Sweet kini dalam proses mengenali hati budi masing-masing. FOTO Instagram Amir Hasan
Georgie Joseph


PENYANYI Amir Hasan mengakui kini rapat dengan pelakon Sweet Qismina namun menafikan mereka menjalin hubungan cinta.

Amir, 23, berkata mereka kini dalam proses mengenali hati budi masing-masing dan mula berkenalan sejak awal tahun lalu.

“Saya mula kenal Sweet sejak penghujung Januari lalu di sebuah acara. Kemudian saya ‘follow’ dia di Instagram sebelum mula rapat dengannya.

“Sejujurnya, saya boleh cakap dia seorang kawan rapat yang istimewa. Namun hubungan kami belum serius sampai tahap bercinta.

“Saya pun tak mahu mengiakan bahawa kami sudah menjalin hubungan. Takut nanti sudah putus jadi tak manis pula ceritanya,” katanya.

Amir juga mengakui awalnya dia agak risau untuk memuat naik foto mereka berdua di Instagram.

“Takut sebenarnya nak muat naik foto kami kalau ada yang tak suka. Saya berbuat demikian untuk memberitahu bahawa kami memang rapat sekarang.

“Ikutkan hati, kalau saya sudah ada kekasih kelak pun rasanya tidak akan terlalu uar-uarkan mengenainya. Yang pasti ini bukan gimik untuk menarik perhatian peminat di luar sana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amir baru melancarkan lagu barunya berjudul GYKT (Gadis Yang Ku Tunggu) manakala muzik videonya bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 3:49 PM